Thursday, 28 May 2015

SISTEM PENGANGKUTAN AWAM MENJANA PEMBANGUNAN NEGARA







Pengangkutan Awam Merupakan Sistem Pengangkutan Yang Mana Penumpang Tidak Bergerak Menggunakan Kenderaan Sendiri.
Pengangkutan awam darat pula meliputi pengangkutan seperti bas, teksi, kereta api, transit aliran ringan (LRT), KTM Komuter, KL Monorail, Express Rail Link (KLIA Express, KLIA Transit).
Dalam usaha menambahbaik pengangkutan awam di negara ini, kerajaan prihatin menyediakan sistem pengangkutan awam yang mampu memenuhi keperluan rakyat untuk menjadikannya sebagai pilihan utama masyarakat khususnya penduduk ibu kota.
Sehubungan itu, kerajaan memberi fokus kepada empat bidang utama di dalam sektor pengangkutan awam di negara ini agar kepercayaan masyarakat terhadap kemudahan tersebut meningkat.
[Pertama]
√ Meningkatkan kebolehpercayaan dengan memberi fokus kepada ketepatan masa
[Kedua]
√ Meningkatkan kualiti perjalanan pengangkutan awam
[Ketiga]
√ Memastikan rakyat mendapat akses mudah pengangkutan awam.
[Keempat]

√ Menyediakan kapasiti pengangkutan mencukupi bagi memenuhi keperluan penumpang sedia ada dan penumpang baru.

Sumber: http://pengangkutanawam-penggunamalaysia.blogspot.com/2015/04/sistem-pengangkutan-awam-menjana.html

Wednesday, 27 May 2015

MASALAH PENGANGKUTAN AWAM.

Pengangkutan awam merupakan salah satu pengangkutan yang amat penting di negara kita. Namun begitu, masih banyak kelemahan yang kerap menjadi sungutan orang ramai. Terangkan kemelut yang melanda sistem pengangkutan awam di negara ini.
.
.
..........Dalam sistem perhubungan, pengangkutan awam menjadi pilihan orang ramai untuk bergerak dari satu destinasi ke satu destinasi yang lain. Sistem pengangkutan ini turut menjadi pilihan golongan marhaen khususnya bagi mereka daripada golongan masyarakat pertengahan dan yang kurang berkemampuan. Rangkaian pengangkutan awam di negara kita adalah seperti pengangkutan bas awam, teksi, Sistem Transit Tren Ringan (LRT), monorel dan sebagainya. Memang sudah banyak usaha yang dilakukan untuk menyatukan semua perkhidmatan ini tetapi kejayaannya masih jauh lagi. Oleh itu, pelbagai kemelut yang melanda sistem pengangkutan awam negara kita harus difahami untuk menangani masalah yang sudah berlanjutan sekian lama.
.
..........Sudah pasti dilema utama yang dihadapi oleh masyarakat terhadap sistem pengangkutan awam kita ialah kos atau tambangnya yang agak mahal. Kadar tambang terutamanya bagi penumpang teksi dan LRT adalah dianggap mahal terutamanya bagi mereka yang berpendapatan rendah serta menghalang mereka daripada menggunakan sistem pengangkutan itu dengan lebih kerap. Kadaan ini menyebabkan jumlah pengguna pengangkutan awam terutama LRT agak kurang dan tidak menyeluruh. Kebanyakan daripada mereka hanya menggunakan pengangkutan awam hanya apabila terdesak atau hanya untuk ke pejabat sahaja. Jadi, kemelut utama ini harus diselesaikan oleh kerajaan jika mereka mahu melihat rakyat negara ini berduyun-duyun menggunakan pengangkutan awam tersebut.
.
...........Selain itu, kemelut pengangkutan awam ini turut dikaitkan dengan amalan pengurusannya yang tidak cekap. Masyarakat menganggap sistem pengangkutan awam terutamanya bas awam tidak boleh diharap dari segi ketepatan waktu operasinya. Kelewatan bas kerap berlaku dan tidak mengikut jadual perjalanan yang ditetapkan. Hal ini menyebabkan masyarakat sukar untuk merancang dan menjangka tempoh perjalanan yang bakal mereka hadapi. Masalah kelewatan sampai ke tempat kerja menjadi isu utama akibat kegagalan pihak pengurusan mengatasi masalah tersebut. Masalah penjagaan bas awam, LRT dan teksi turut dikatakan termasuk dalam kategori yang mengecewakan kerana penyelenggaraannya yang tidak menyeluruh. Oleh itu, masyarakat bukan sahaja kecewa melihat kegagalan pengangkutan awam mematuhi jadual perjalanan malah pada masa yang sama kegagalan untuk menjaga kualiti perkhidmatan pengangkutan awam turut dirasai.
.
..........Kita juga sering terdengar rungutan orang awam yang mengatakan bahawa tumpuan perkhidmatan awam di negara kita tidak menyeluruh. Kemudahan stesen LRT umpamanya hanya terletak di kawasan tertentu yang kadang-kala menyukarkan orang ramai tiba ke pejabat. Hal ini bertambah rumit kerana masalah kekurangan pengangkutan tambahan atau “fider bus” di kawasan itu. Kalau anda sering menggunakan pengangkutan awam sudah pasti anda akan menghadapi masalah untuk menukar sistem pengangkutan, contohnya di antara stesen monorel dengan stesen LRT atau di antara stesen bas dengan tesen monorel. Hal ini menyebabkan penjalanan penumpang terganggu kerana terpaksa beratur untuk membeli tiket sebelum menaiki pengangkutan awam yang lain pula. Dalam era globalisasi yang mengutamakan kepantasan, sudah pasti keadaan ini dianggap merumitkan kehidupan masyarakat. Maka, satu sistem tiket yang bersepadu harus diadakan oleh kerajaan sebelum kemelut ini menjadi semakin rumit untuk diselesaikan.
..
..........Malah, pengangkutan awam turut turut terjejas akibat tindakan segelintir pekerja mereka seperti pemandu teksi dan pemandu bas yang tidak sopan ketika memandu. Sering kali masyarakat mengadu kerakusan pemandu pengangkutan awam di jalan raya yang dibuktikan oleh meningkatkan kemalangan yang melibatkan pengangkutan awam ini. Sikap tidak prihatin mereka ini telah memberi satu imej negatif kepada semua pekerja yang bekerja dalam sistem pengangkutan awam negara kerana seekor kerbau membawa lumpur, semuanya terpalit. Ada di antara mereka yang masih mengamalkan sikap ingin menjadi sang juara di jalan raya. Hal ini bukan sahaja membahayakan penumpang kenderaan tersebut malah pada masa yang sama turut membahayakan keselamatan pengguna jalan raya yang lain. Justeru, semua pekerja pengangkutan awam harus diberi satu kursus untuk memastikan mereka lebih mesra pelanggan dan bukannya dibenci oleh pelanggan serta masyarakat awam yang lain.
.
..........Banyak juga aduan yang sering kita baca di dada-dada akhbar mengenai rungutan orang awam tentang kekurangan tempat letak kereta di stesen LRT dan komuter. Hal ini berlaku kerana kurangnya perancangan yang teliti sebelum projek tersebut dilaksanakan. Kelemahan ini bukan sahaja menyukarkan orang ramai meletakkan kenderaan mereka malah menghalang orang ramai untuk menaiki kemudahan awam tersebut. Di beberapa buah stesen komuter dan LRT di ibu kota Kuala Lumpur umpamanya, kekurangan tempat untuk meletakkan kenderaan menyebabkan orang ramai meletakkan kenderaan mereka sesuka hati atau di tepi-tepi jalan. Hal ini bukan sahaja menyebabkan berlakunya kesesakan malah kadang-kala boleh menyebabkan berlakunya kemalangan. Lebih malang pula, ada sebahagian kenderaan tersebut turut di saman oleh pihak polis biarpun masalah ini timbul akibat kelemahan pengurusan terbabit. Jelasnya, rungutan pengguna pengangkutan awam tersebut perlu ditangani dengan baik agar pengangkutan awam di negara kita tidak menjadi “indah khabar dari rupa”.
.

..........Kesimpulannya, masalah pengangkutan awam di negara kita amat perlu diambil berat oleh pihak yang terbabit. Sekiranya perkara tersebut masih terus didiamkan tanpa sebarang tindakan, kita bimbang hasrat kerajaan untuk menjadikan pengangkutan awam sebagai salah satu pengangkutan utama di negara kita akan terkubur. Kesungguhan pihak kerajaan untuk mengambil langkah awal dalam menangani masalah ini amat ditagih dan pihak berwajib tidak harus bertindak hanya apabila isu itu menjadi tatapan masyarakat dalam media massa negara. Mungkin sudah sampai masanya kerajaan bertindak tegas dalam kemelut ini dan bukan bersikap “sudah terhantuk baru terngadah”.

Sumber: http://bmpmrspm.blogspot.com/2009/09/masalah-pengangkutan-awam-di-negara.html

TRANSFORMASI: GAMBARAN KESELURUHAN NKRA MEMPERTINGKATKAN PENGANGKUTAN AWAM DI BANDAR





Walaupun Malaysia telah melabur dalam pengangkutan awam beberapa tahun lalu, kekurangan jumlah komuter dan peningkatan penggunaan kenderaan persendirian menunjukkan terdapat kelemahan dalam pendekatan ini.

NKRA Mempertingkatkan Pengangkutan Awam Bandar (NKRA UPT) telah dilaksanakan untuk menyeleasaikan masalah ini dengan fokus tertentu di Kuala Lumpur dan Lembah Klang. Inisiatif ini sebaris dengan program lain yang dijalankan oleh Negara seperti dalam semua koridor ekonomi.

NKRA UPT memberi tumpuan kepada Lembah Klang kerana ia merupakan pusat dagangan dan masalah trafik adalah pada tahap yang kritikal. NKRA UPT, dengan mandat yang menyasarkan keberhasilan yang cepat, mampu memberi kesan yang besar dengan memberi fokus di kawasan tertentu.

Matlamat akhir adalah untuk mewujudkan pengangkutan awam bandar (UPT) bersepadu, yang akan menggalakkan lebih ramai penumpang pengangkutan awam, meningkatkan peratusan modal perkongsian kepada 25% daripada 12% pada masa ini.

KEBAIKAN MENGGUNAKAN PENGANGKUTAN AWAM



Di samping anggapan-anggapan negatif sesetengah masyarakat tersebut, hakikatnya terdapat banyak kebaikan yang boleh diperolehi sekiranya menggunakan pengangkutan awam. Kebaikan-kebaikan ini sudah tentunya mampu memberikan kesan dalam jangka masa panjang mahupun pendek. Di sini, saya akan senaraikan, berdasarkan sumber yang boleh dipercayai;

1) Mengurangkan Pencemaran Udara

Indeks pencemaran udara dapat dikurangkan jika kita sepakat untuk menggunakan pengangkutan awam untuk ke mana-mana destinasi. Hal ini tidak dapat dinafikan kerana apabila kenderaan di atas jalan raya semakin berkurangan, maka pelepasan gas karbon monoksida yang berbahaya kepada sistem pernafasan manusia turut berkurangan. Kesannya, kita dapat mengurangkan pencemaran udara dan kesan rumah hijau sekali gus. Secara tidak langsung juga, rakyat Malaysia dapat hidup dengan sihat dan sejahtera.

2) Menjimatkan Kos Masa Perjalanan dan Wang

Pengangkutan awam sebenarnya dapat menjimatkan masa seseorang untuk sampai ke sesuatu destinasi seterusnya dapat menjimatkan kos perjalanan. Sebagai contohnya, jika dahulu perjalanan ke Ipoh dengan memandu kereta mungkin memakan masa hingga tiga jam dan kadangkala meletihkan kerana terpaksa menempuh kesesakan yang tidak diduga sepanjang perjalanan. Namun, pada hari ini anda boleh menikmati kopi panas dan membaca buku kegemaran anda dengan menaiki kereta api elektrik (ETS) yang hanya mengambil masa dua jam lima minit sahaja perjalanan pada kadar tambang yang berpatutan. Sudah jelas di sini bahawa penggunaan ETS dapat menjimatkan masa seseorang lebih kurang 50 minit berbanding penggunaan kereta persendirian. Impaknya, pengangkutan awam dapat menjimatkan masa dan kos perbelanjaan dengan tambang yang berpatutan seperti juga pengangkutan awam yang lain iaitu LRT (Light Rail Transit) dan MRT(Mass Rail Transit) yang menjadi pilihan ramai terutamanya golongan pertengahan di kawasan bandar. Malahan kita boleh pergi ke mana-mana destinasi tanpa perlu memikirkan kos petrol yang semakin meningkat dan pengguna tidak perlu memikirkan bayaran tol serta bayaran tempat meletak kenderaan. Seterusnya, kos yang dapat dijimatkan itu boleh digunakan untuk membeli barang keperluan yang lebih penting. Peribahasa yang bertepatan dengan situasi di atas ialah Ingat Sementara Belum Kena, Jimat Sebelum Habis dan Masa Itu Ibarat Emas. Sudah Terang Lagi Bersuluh, pengangkutan awam dapat menjimatkan masa dan kos perjalanan seseorang.

3) Menyimpan Wang Simpanan

Hakikatnya, dengan menggunakan kemudahan awam, kita tidak perlu lagi membeli kenderaan sendiri. Pada masa kini harga kenderaan seperti kereta adalah tinggi. Oleh itu, kita boleh menggunakan wang pendapatan bulanan kita untuk membeli keperluan asas lain yang lebih penting seperti rumah, pakaian dan makanan. Kita juga boleh menggunakan wang tersebut untuk simpanan masa hadapan.

4) Memajukan Bidang Ekopelancongan

Memberi kemudahan kepada pelancong asing - perkhidmatan yang efisien memberi impak yang baik kepada sektor pelancongan - para pelancong yang datang berkunjung - mudah bergerak dan melawat tempat-tempat menarik di negara kita. Mereka boleh bersiar-siar dan melihat keindahan negara Malaysia dengan mudah dan tidak perlu bersusah-payah merancang jadual perjalanan mereka. Hal ini akan membuatkan mereka mahu datang lagi ke Malaysia dengan kemudahan yang disediakan.


 Sumber: http://irennasafinna.blogspot.com/2013/10/karangan-kelebihan-pengangkutan-awam.html

Tuesday, 26 May 2015

LANGKAH-LANGKAH UNTUK MENINGKATKAN PENGGUNAAN PENGANGKUTAN AWAM



1) Pendidikan Sejak Kecil

Pendidikan sejak daripada kecil adalah penting untuk memujuk jiwa warganegara Malaysia untuk menggunakan pengangkutan awam. Dalam konteks ini, ibu bapa dan pihak sekolah memainkan peranan yang penting memandangkan kanak-kanak banyak meluangkan masa bersama mereka. Ibu bapa dan pihak sekolah sepatutnya mendidik kanak-kanak untuk menggunakan pengangkutan awam dan menyenaraikan pelbagai kelebihan menggunakan pengangkutan awam kepada mereka.

2) Hiburan Dalam Pengangkutan Awam

Langkah yang kedua adalah pihak kerajaan seharusnya meletakkan hiburan dalam pengangkutan awam seperti pemasangan televisyen ataupun radio. Hiburan ini sepatutnya diletakkan bukan sahaja di dalam bas ekspres, tetapi patut dipasang di dalam LRT, komuter dan monorel juga. Hal ini boleh menceriakan pejalanan para pengguna. Pemasangan ini bukan sahaja boleh menghiburkan, tetapi turut boleh meningkatkan nilai patriotisme di dalam diri para pengguna sekiranya iklan-iklan mengenai negara yang menarik dipasang. Namun, hiburan seperti televisyen dinasihatkan tidak diletakkan di kawasan yang boleh mencapai penglihatan pemandu, agar pemandu tidak ikut tertarik dan hilang fokus.

3) Sistem Tiket Bersepadu

Menurut satu kajian yang dibuat dalam kalangan rakyat, banyak pihak mengatakan bahawa kepelbagaian sistem tiket untuk menggunakan rangkaian perkhidmatan awam yang berlainan telah mengurangkan minat mereka untuk bergerak dari tempat asal ke destinasi lain dengan penukaran rangkaian perkhidmatan awam. Oleh itu, kerajaan haruslah melaksanakan sistem tiket bersepadu dengan harga yang mampu dibeli oleh orang ramai khususnya mereka yang berpendapatan rendah supaya dapat menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam. Kerajaan haruslah menubuhkan sebuah Lembaga Pengangkutan Awam (PTA) untuk menguruskan pengangkutan awam di negara kita. Pertubuhan tersebut dapat mempercepat proses perlaksanaan sistem tiket bersepadu yang masih dalam peringkat kajian. Selain itu, kerajaan juga harus mengambil contoh pelaksanaannya di negara barat seperti di Melbourne, Australia. Di Melborune penumpang hanya perlu membeli satu tiket pada kos yang rendah untuk menaiki kereta api atau menaiki bas. Hal ini bertepatan dengan peribahasa “serampang dua mata”. Pendekataan ini bukan sahaja dapat menjimatkan wang golongan yang kurang berupaya tetapi juga dapat memudahkan rakyat untuk mengatur pejalanan laluan harian mereka. Jadi jikalau sistem tiket bersepadu ini dapat direalisasikan, jumlah penumpang pastilah dapat mencapai sasaran yang telah diramalkan oleh pengendali pengangkutan awam.

Sumber: http://bmpmrspm.blogspot.com/2009/09/langkah-untuk-menggalakkan-orang-ramai.html

AKHBAR TENTANG PENGANGKUTAN AWAM.





KUANTAN 26 Nov. - Perkhidmatan bas henti-henti terbaharu, RapidKuantan yang bakal memulakan operasi pada 1 Disember ini dijangka mampu menarik lebih ramai penumpang kerana mempunyai pelbagai ciri keselamatan dan mesra pengguna semua golongan.

Ketua Pegawai Operasi (Bahagian Operasi Bas) Rangkaian Pengangkutan Integrasi Deras Sdn. Bhd. (Rapid), Mohd. Azam Omar berkata, bas bersaiz 10.7 meter panjang itu mempunyai transmisi automatik dengan enam kelajuan yang direka menggunakan teknologi Sweeden.

Tambahnya, kenderaan itu turut mempunyai lantai yang rendah bagi memudahkan golongan orang kurang upaya (OKU) berkerusi roda menggunakan perkhidmatan berkenaan dengan selesa.

"Bas berkenaan berupaya direndahkan hingga 254 milimeter dari lantai ke tanah bagi kemudahan OKU, warga emas dan kanak-kanak.

"Saiznya yang lebih pendek berbanding bas biasa iaitu 12 meter juga direka khas bagi memudahkan pergerakan kenderaan itu di kawasan perumahan dan jalan di dalam bandar," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelepasan Bas RapidKuantan ke Kuantan di Depoh Sentul, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menurut Mohd. Azam, selain pemasangan lima kamera litar tertutup (CCTV), bas RapidKuantan dilengkapi penunjuk arah digital (LED) di bahagian depan, sisi dan belakang bas.

"Paparan digital pemberitahuan lokasi bas akan berhenti dan pengumuman lokasi bas juga disediakan bagi memudahkan penumpang terutama yang mempunyai masalah penglihatan dan pendengaran.

"Bagi keselamatan penumpang, pintu bas hanya terbuka apabila bas berhenti dan tidak akan tertutup dan bergerak jika terdapat halangan seperti penumpang berdiri di pintu," katanya.

Beliau memberitahu, sebanyak 64 pemandu akan memulakan tugas serentak dengan 32 bas.

Dalam pada itu, selain bas berteknologi tinggi, selamat dan selasa, katanya, pemandu juga merupakan dalam kalangan mereka yang terlatih dan berpengalaman.

Sementara itu, Pengarah Kumpulan Divisyen Bas Prasarana, Zohari Sulaiman berkata, setiap pemandu menjalani latihan komprehensif selama enam bulan termasuk metodologi pemanduan yang baik, berhemah dan mesra pelanggan.

"Kami turut menekankan beberapa aspek kemahiran berkomunikasi seperti perkhidmatan dengan budaya cemerlang, rawatan pertolongan cemas di samping memberi penekanan mengenai elemen integriti dan akauntabiliti.

"Modul latihan kami gunakan termasuk di RapidKL dan RapidPenang adalah diiktiraf kerajaan, sekali gus memberi keyakinan membuka kemudahan latihan ini kepada operator bas lain," katanya.

Tambah Zohari, sebagai permulaan, RapidKuantan akan beroperasi di depot sementara iaitu di Semambu di sini bagi melancarkan operasi harian.

Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, beliau berharap dengan wujudnya perkhidmatan berkenaan, masalah berkaitan pengangkutan awam di bandar dapat diperkemaskan serta diselesaikan terutama membabitkan masa dan kekerapan perkhidmatan tersebut.

"Saya berharap Rapid Kuantan dapat menyelesaikan masalah pengangkutan di bandar Kuantan dengan memberi tumpuan kepada kecekapan dalam mengendalikan perkhidmatan tersebut.

"Masalah utama yang sering dihadapi orang ramai ialah kekerapan dan masa tidak menentu sehingga menyukarkan mereka kerana terpaksa mencari kenderaan lain sebagai alternatif," katanya.



Sumber: http://ww1.utusan.com.my/utusan/Pahang/20121127/wp_01/Transformasi-pengangkutan-awam



PENGANGKUTAN AWAM.

Pengangkutan awam atau transit awam merangkumi segala sistem pengangkutan yang mana penumpang tidak bergerak menggunakan kenderaan sendiri. Meskipun istilah-istilah tersebut secara amnya dianggap sebagai perkhidmatan rel dan bas, definisi yang lebih luas boleh merangkumi perkhidmatan penerbangan berjadual, feri, teksi dan sebagainya. Satu lagi batasan lanjut yang kadang-kadang dikenakan adalah bahawa pengangkutan itu sepatutnya dijalankan dalam kenderaan yang sentiasa dikongsi, maka terkecualinya teksi yang bukan kongsi tumpang. Pengangkutan awam biasanya dikenali sebagai pengangkutan umum dan biasanya diatur untuk menawarkan perkhidmatan berjadual dalam laluan tetap tanpa penempahan. Kebanyakan penumpang transit bergerak dalam lingkungan kawasan tempatan di antara rumah mereka dan tempat kerja, pusat beli-belah atau institusi pendidikan.Lebuh Raya Utara-Selatan 966km, melalui tujuh buah negeri di Semenanjung Malaysia, ialah lebuhraya terpanjang di Malaysia.

Pengangkutan di Malaysia mula dimajukan semasa pemerintahan penjajahan British, dan rangkaian pengangkutan negara ini kini luas dan maju. Rangkaian jalan raya Malaysia sangat besar, merangkumi 63,445 km, termasuk 1,630 km lebuhraya. Lebuhraya utama negara ini berpanjang melebihi 800 km, mencapai sempadan Thai dari Singapura. Rangkaian jalan di Semenanjung Malaysia adalah berkualiti, sementara sistem jalan raya di Malaysia Timur kurang maju. Cara pengangkutan utama di Semenanjung Malaysia termasuk bas, kereta api, kereta dan kepada suatu tahap, kapal terbang.
Malaysia mempunyai enam buah lapangan terbang antarabangsa. Penerbangan rasmi Malaysia ialah Penerbangan Malaysia, menyediakan perkhidmatan antarabangsa dan dalam negeri bersama dua penerbangan lain. Kebanyakan bandar raya besar disambungkan dengan laluan udara. Sistem kereta api diurus oleh syarikat tempatan, dan merangkumi sejumlah 1798 km, di Semenanjung Malaysia sahaja. Yang popular di dalam bandar raya ialah Transit Aliran Ringan, yang mengurangkan beban lalu lintas di sistem lain, dan dianggap selamat, selesa dan boleh dipercayai.


Sumber:http://pengangkutanawam2015.blogspot.com/