Pengangkutan awam merupakan salah satu pengangkutan yang
amat penting di negara kita. Namun begitu, masih banyak kelemahan yang kerap
menjadi sungutan orang ramai. Terangkan kemelut yang melanda sistem
pengangkutan awam di negara ini.
.
.
..........Dalam sistem perhubungan, pengangkutan awam
menjadi pilihan orang ramai untuk bergerak dari satu destinasi ke satu
destinasi yang lain. Sistem pengangkutan ini turut menjadi pilihan golongan
marhaen khususnya bagi mereka daripada golongan masyarakat pertengahan dan yang
kurang berkemampuan. Rangkaian pengangkutan awam di negara kita adalah seperti
pengangkutan bas awam, teksi, Sistem Transit Tren Ringan (LRT), monorel dan
sebagainya. Memang sudah banyak usaha yang dilakukan untuk menyatukan semua
perkhidmatan ini tetapi kejayaannya masih jauh lagi. Oleh itu, pelbagai kemelut
yang melanda sistem pengangkutan awam negara kita harus difahami untuk
menangani masalah yang sudah berlanjutan sekian lama.
.
..........Sudah pasti dilema utama yang dihadapi oleh
masyarakat terhadap sistem pengangkutan awam kita ialah kos atau tambangnya
yang agak mahal. Kadar tambang terutamanya bagi penumpang teksi dan LRT adalah
dianggap mahal terutamanya bagi mereka yang berpendapatan rendah serta
menghalang mereka daripada menggunakan sistem pengangkutan itu dengan lebih
kerap. Kadaan ini menyebabkan jumlah pengguna pengangkutan awam terutama LRT
agak kurang dan tidak menyeluruh. Kebanyakan daripada mereka hanya menggunakan
pengangkutan awam hanya apabila terdesak atau hanya untuk ke pejabat sahaja.
Jadi, kemelut utama ini harus diselesaikan oleh kerajaan jika mereka mahu
melihat rakyat negara ini berduyun-duyun menggunakan pengangkutan awam
tersebut.
.
...........Selain itu, kemelut pengangkutan awam ini turut
dikaitkan dengan amalan pengurusannya yang tidak cekap. Masyarakat menganggap
sistem pengangkutan awam terutamanya bas awam tidak boleh diharap dari segi
ketepatan waktu operasinya. Kelewatan bas kerap berlaku dan tidak mengikut
jadual perjalanan yang ditetapkan. Hal ini menyebabkan masyarakat sukar untuk
merancang dan menjangka tempoh perjalanan yang bakal mereka hadapi. Masalah
kelewatan sampai ke tempat kerja menjadi isu utama akibat kegagalan pihak
pengurusan mengatasi masalah tersebut. Masalah penjagaan bas awam, LRT dan
teksi turut dikatakan termasuk dalam kategori yang mengecewakan kerana
penyelenggaraannya yang tidak menyeluruh. Oleh itu, masyarakat bukan sahaja
kecewa melihat kegagalan pengangkutan awam mematuhi jadual perjalanan malah
pada masa yang sama kegagalan untuk menjaga kualiti perkhidmatan pengangkutan
awam turut dirasai.
.
..........Kita juga sering terdengar rungutan orang awam
yang mengatakan bahawa tumpuan perkhidmatan awam di negara kita tidak
menyeluruh. Kemudahan stesen LRT umpamanya hanya terletak di kawasan tertentu
yang kadang-kala menyukarkan orang ramai tiba ke pejabat. Hal ini bertambah
rumit kerana masalah kekurangan pengangkutan tambahan atau “fider bus” di
kawasan itu. Kalau anda sering menggunakan pengangkutan awam sudah pasti anda
akan menghadapi masalah untuk menukar sistem pengangkutan, contohnya di antara
stesen monorel dengan stesen LRT atau di antara stesen bas dengan tesen
monorel. Hal ini menyebabkan penjalanan penumpang terganggu kerana terpaksa
beratur untuk membeli tiket sebelum menaiki pengangkutan awam yang lain pula.
Dalam era globalisasi yang mengutamakan kepantasan, sudah pasti keadaan ini
dianggap merumitkan kehidupan masyarakat. Maka, satu sistem tiket yang
bersepadu harus diadakan oleh kerajaan sebelum kemelut ini menjadi semakin rumit
untuk diselesaikan.
..
..........Malah, pengangkutan awam turut turut terjejas
akibat tindakan segelintir pekerja mereka seperti pemandu teksi dan pemandu bas
yang tidak sopan ketika memandu. Sering kali masyarakat mengadu kerakusan
pemandu pengangkutan awam di jalan raya yang dibuktikan oleh meningkatkan
kemalangan yang melibatkan pengangkutan awam ini. Sikap tidak prihatin mereka
ini telah memberi satu imej negatif kepada semua pekerja yang bekerja dalam
sistem pengangkutan awam negara kerana seekor kerbau membawa lumpur, semuanya
terpalit. Ada di antara mereka yang masih mengamalkan sikap ingin menjadi sang
juara di jalan raya. Hal ini bukan sahaja membahayakan penumpang kenderaan
tersebut malah pada masa yang sama turut membahayakan keselamatan pengguna jalan
raya yang lain. Justeru, semua pekerja pengangkutan awam harus diberi satu
kursus untuk memastikan mereka lebih mesra pelanggan dan bukannya dibenci oleh
pelanggan serta masyarakat awam yang lain.
.
..........Banyak juga aduan yang sering kita baca di
dada-dada akhbar mengenai rungutan orang awam tentang kekurangan tempat letak
kereta di stesen LRT dan komuter. Hal ini berlaku kerana kurangnya perancangan
yang teliti sebelum projek tersebut dilaksanakan. Kelemahan ini bukan sahaja
menyukarkan orang ramai meletakkan kenderaan mereka malah menghalang orang
ramai untuk menaiki kemudahan awam tersebut. Di beberapa buah stesen komuter
dan LRT di ibu kota Kuala Lumpur umpamanya, kekurangan tempat untuk meletakkan
kenderaan menyebabkan orang ramai meletakkan kenderaan mereka sesuka hati atau
di tepi-tepi jalan. Hal ini bukan sahaja menyebabkan berlakunya kesesakan malah
kadang-kala boleh menyebabkan berlakunya kemalangan. Lebih malang pula, ada
sebahagian kenderaan tersebut turut di saman oleh pihak polis biarpun masalah
ini timbul akibat kelemahan pengurusan terbabit. Jelasnya, rungutan pengguna
pengangkutan awam tersebut perlu ditangani dengan baik agar pengangkutan awam
di negara kita tidak menjadi “indah khabar dari rupa”.
.
..........Kesimpulannya, masalah pengangkutan awam di negara
kita amat perlu diambil berat oleh pihak yang terbabit. Sekiranya perkara
tersebut masih terus didiamkan tanpa sebarang tindakan, kita bimbang hasrat
kerajaan untuk menjadikan pengangkutan awam sebagai salah satu pengangkutan utama
di negara kita akan terkubur. Kesungguhan pihak kerajaan untuk mengambil
langkah awal dalam menangani masalah ini amat ditagih dan pihak berwajib tidak
harus bertindak hanya apabila isu itu menjadi tatapan masyarakat dalam media
massa negara. Mungkin sudah sampai masanya kerajaan bertindak tegas dalam
kemelut ini dan bukan bersikap “sudah terhantuk baru terngadah”.
Sumber: http://bmpmrspm.blogspot.com/2009/09/masalah-pengangkutan-awam-di-negara.html
No comments:
Post a Comment