Wednesday, 27 May 2015

KEBAIKAN MENGGUNAKAN PENGANGKUTAN AWAM



Di samping anggapan-anggapan negatif sesetengah masyarakat tersebut, hakikatnya terdapat banyak kebaikan yang boleh diperolehi sekiranya menggunakan pengangkutan awam. Kebaikan-kebaikan ini sudah tentunya mampu memberikan kesan dalam jangka masa panjang mahupun pendek. Di sini, saya akan senaraikan, berdasarkan sumber yang boleh dipercayai;

1) Mengurangkan Pencemaran Udara

Indeks pencemaran udara dapat dikurangkan jika kita sepakat untuk menggunakan pengangkutan awam untuk ke mana-mana destinasi. Hal ini tidak dapat dinafikan kerana apabila kenderaan di atas jalan raya semakin berkurangan, maka pelepasan gas karbon monoksida yang berbahaya kepada sistem pernafasan manusia turut berkurangan. Kesannya, kita dapat mengurangkan pencemaran udara dan kesan rumah hijau sekali gus. Secara tidak langsung juga, rakyat Malaysia dapat hidup dengan sihat dan sejahtera.

2) Menjimatkan Kos Masa Perjalanan dan Wang

Pengangkutan awam sebenarnya dapat menjimatkan masa seseorang untuk sampai ke sesuatu destinasi seterusnya dapat menjimatkan kos perjalanan. Sebagai contohnya, jika dahulu perjalanan ke Ipoh dengan memandu kereta mungkin memakan masa hingga tiga jam dan kadangkala meletihkan kerana terpaksa menempuh kesesakan yang tidak diduga sepanjang perjalanan. Namun, pada hari ini anda boleh menikmati kopi panas dan membaca buku kegemaran anda dengan menaiki kereta api elektrik (ETS) yang hanya mengambil masa dua jam lima minit sahaja perjalanan pada kadar tambang yang berpatutan. Sudah jelas di sini bahawa penggunaan ETS dapat menjimatkan masa seseorang lebih kurang 50 minit berbanding penggunaan kereta persendirian. Impaknya, pengangkutan awam dapat menjimatkan masa dan kos perbelanjaan dengan tambang yang berpatutan seperti juga pengangkutan awam yang lain iaitu LRT (Light Rail Transit) dan MRT(Mass Rail Transit) yang menjadi pilihan ramai terutamanya golongan pertengahan di kawasan bandar. Malahan kita boleh pergi ke mana-mana destinasi tanpa perlu memikirkan kos petrol yang semakin meningkat dan pengguna tidak perlu memikirkan bayaran tol serta bayaran tempat meletak kenderaan. Seterusnya, kos yang dapat dijimatkan itu boleh digunakan untuk membeli barang keperluan yang lebih penting. Peribahasa yang bertepatan dengan situasi di atas ialah Ingat Sementara Belum Kena, Jimat Sebelum Habis dan Masa Itu Ibarat Emas. Sudah Terang Lagi Bersuluh, pengangkutan awam dapat menjimatkan masa dan kos perjalanan seseorang.

3) Menyimpan Wang Simpanan

Hakikatnya, dengan menggunakan kemudahan awam, kita tidak perlu lagi membeli kenderaan sendiri. Pada masa kini harga kenderaan seperti kereta adalah tinggi. Oleh itu, kita boleh menggunakan wang pendapatan bulanan kita untuk membeli keperluan asas lain yang lebih penting seperti rumah, pakaian dan makanan. Kita juga boleh menggunakan wang tersebut untuk simpanan masa hadapan.

4) Memajukan Bidang Ekopelancongan

Memberi kemudahan kepada pelancong asing - perkhidmatan yang efisien memberi impak yang baik kepada sektor pelancongan - para pelancong yang datang berkunjung - mudah bergerak dan melawat tempat-tempat menarik di negara kita. Mereka boleh bersiar-siar dan melihat keindahan negara Malaysia dengan mudah dan tidak perlu bersusah-payah merancang jadual perjalanan mereka. Hal ini akan membuatkan mereka mahu datang lagi ke Malaysia dengan kemudahan yang disediakan.


 Sumber: http://irennasafinna.blogspot.com/2013/10/karangan-kelebihan-pengangkutan-awam.html

No comments:

Post a Comment