KUANTAN 26 Nov. - Perkhidmatan bas henti-henti terbaharu, RapidKuantan yang bakal memulakan operasi pada 1 Disember ini dijangka mampu menarik lebih ramai penumpang kerana mempunyai pelbagai ciri keselamatan dan mesra pengguna semua golongan.
Ketua Pegawai Operasi (Bahagian Operasi Bas) Rangkaian
Pengangkutan Integrasi Deras Sdn. Bhd. (Rapid), Mohd. Azam Omar berkata, bas
bersaiz 10.7 meter panjang itu mempunyai transmisi automatik dengan enam kelajuan
yang direka menggunakan teknologi Sweeden.
Tambahnya, kenderaan itu turut mempunyai lantai yang rendah
bagi memudahkan golongan orang kurang upaya (OKU) berkerusi roda menggunakan
perkhidmatan berkenaan dengan selesa.
"Bas berkenaan berupaya direndahkan hingga 254
milimeter dari lantai ke tanah bagi kemudahan OKU, warga emas dan kanak-kanak.
"Saiznya yang lebih pendek berbanding bas biasa iaitu
12 meter juga direka khas bagi memudahkan pergerakan kenderaan itu di kawasan
perumahan dan jalan di dalam bandar," katanya kepada pemberita selepas
Majlis Pelepasan Bas RapidKuantan ke Kuantan di Depoh Sentul, Kuala Lumpur
baru-baru ini.
Menurut Mohd. Azam, selain pemasangan lima kamera litar
tertutup (CCTV), bas RapidKuantan dilengkapi penunjuk arah digital (LED) di
bahagian depan, sisi dan belakang bas.
"Paparan digital pemberitahuan lokasi bas akan berhenti
dan pengumuman lokasi bas juga disediakan bagi memudahkan penumpang terutama
yang mempunyai masalah penglihatan dan pendengaran.
"Bagi keselamatan penumpang, pintu bas hanya terbuka
apabila bas berhenti dan tidak akan tertutup dan bergerak jika terdapat
halangan seperti penumpang berdiri di pintu," katanya.
Beliau memberitahu, sebanyak 64 pemandu akan memulakan tugas
serentak dengan 32 bas.
Dalam pada itu, selain bas berteknologi tinggi, selamat dan
selasa, katanya, pemandu juga merupakan dalam kalangan mereka yang terlatih dan
berpengalaman.
Sementara itu, Pengarah Kumpulan Divisyen Bas Prasarana,
Zohari Sulaiman berkata, setiap pemandu menjalani latihan komprehensif selama
enam bulan termasuk metodologi pemanduan yang baik, berhemah dan mesra
pelanggan.
"Kami turut menekankan beberapa aspek kemahiran
berkomunikasi seperti perkhidmatan dengan budaya cemerlang, rawatan pertolongan
cemas di samping memberi penekanan mengenai elemen integriti dan akauntabiliti.
"Modul latihan kami gunakan termasuk di RapidKL dan
RapidPenang adalah diiktiraf kerajaan, sekali gus memberi keyakinan membuka
kemudahan latihan ini kepada operator bas lain," katanya.
Tambah Zohari, sebagai permulaan, RapidKuantan akan
beroperasi di depot sementara iaitu di Semambu di sini bagi melancarkan operasi
harian.
Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob
berkata, beliau berharap dengan wujudnya perkhidmatan berkenaan, masalah
berkaitan pengangkutan awam di bandar dapat diperkemaskan serta diselesaikan
terutama membabitkan masa dan kekerapan perkhidmatan tersebut.
"Saya berharap Rapid Kuantan dapat menyelesaikan
masalah pengangkutan di bandar Kuantan dengan memberi tumpuan kepada kecekapan
dalam mengendalikan perkhidmatan tersebut.
"Masalah utama yang sering dihadapi orang ramai ialah
kekerapan dan masa tidak menentu sehingga menyukarkan mereka kerana terpaksa
mencari kenderaan lain sebagai alternatif," katanya.
Sumber: http://ww1.utusan.com.my/utusan/Pahang/20121127/wp_01/Transformasi-pengangkutan-awam
No comments:
Post a Comment