MELAKA 9 Jan. - Dalam kesibukan negara untuk mencapai status
negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020, pelbagai aspek terus diberi
perhatian serius oleh kerajaan bagi menyokong sektor pembangunan agar seimbang
dengan keperluan masyarakat setempat dan alam sekitar.
Tidak ketinggalan dalam aspek kemudahan pengangkutan awam,
pendekatan penggunaan teknologi hijau yang telah digunakan di kebanyakan negara
maju dilihat mampu dijadikan contoh bagi Malaysia untuk menjayakan hasrat
tersebut.
Pengangkutan awam seperti bas yang dijanakan sepenuhnya
dengan kuasa elektrik antara contoh kemudahan yang berpotensi dilaksanakan di
negara ini dalam masa terdekat malah berupaya dijadikan pengangkutan awam masa
hadapan.
Penggunaan bas elektrik dalam pengangkutan awam turut
dilihat mampu membantu negara mencapai sasaran pengurangan penghasilan karbon
dan sekali gus mengurangkan kadar pencemaran udara.
Menyedari kepentingan itu, Panorama Melaka Sdn. Bhd.
(Panorama) bersama syarikat AMDAC (M) Sdn. Bhd. membawa masuk teknologi bas
elektrik dari China dalam usaha merealisasikan amalan teknologi hijau secara
lebih meluas.
Bas elektrik pertama di negara ini dikenali Bas Elektrik
Melaka yang dikeluarkan oleh syarikat Automotif BYD Berhad (BYD) dari Shenzhen,
China telah mula digunakan di Amerika Syarikat, Belanda, China, Hong Kong dan
beberapa negara maju lain sejak 2010.
Malah kebaikan dan kesan positif dihasilkan melalui
penggunaannya termasuk tiada pencemaran udara dan membantu mengekalkan keadaan
alam sekitar yang bersih menjadikan kenderaan ini sebagai pilihan ideal untuk
negara ini.
Dari segi reka bentuknya, bas berukuran 12 meter panjang,
2.5 meter lebar dan 3.5 meter tinggi ini mampu memuatkan sehingga 30 penumpang
duduk dan 20 penumpang berdiri pada satu-satu masa.
Menggunakan kuasa bateri jenis Iron-Phosphate (Fe bateri)
yang tidak mudah terbakar berkapasiti 324 kilowatt, bas ini mengambil masa
selama enam jam untuk dicas penuh dan mampu digunakan bagi jarak sehingga 300
kilometer sekali cas.
Bas ini dilengkapi dengan sistem BMS untuk pemantauan voltan
dan suhu setiap bateri bagi tujuan keselamatan dan keseimbangan.
Bagi peringkat percubaan ini, hanya terdapat satu stesen
pengecas bas elektrik terdapat di Melaka iaitu di Melaka Sental.
Dari segi keselesaan pula, penggunaan bas ini jauh lebih
selesa, bersih serta lebih senyap berbanding bas biasa dengan enjin diesel.
Sistem pendingin hawa dalam bas ini mampu berfungsi dan
memberi kuasa sepenuhnya disebabkan kuasa gerakan bas ini hanya menggunakan
sistem putaran motor (rottary motor) dan tidak menggunakan piston.
Sistem ini akan mengekalkan keadaan sejuk dalam bas
terutamanya pada waktu tengah hari yang seterusnya menambah lagi keselesaan.
Selain itu, bas elektrik ini turut mampu memberi keselesaan
dan mesra orang kurang upaya (OKU) dengan tersedianya satu ruang khas bagi
pengguna berkerusi roda.
Lebih menarik, sistem suspensi hidraulik pada bas ini
membolehkan kenderaan ini disengetkan serta laluan tambahan bagi memudahkan
penumpang OKU membawa naik kerusi roda mereka dengan lebih mudah.
Dari aspek keselamatan pula, bas yang mampu mencapai had
kelajuan sehingga 250 kilometer sejam (km/j) ini telah dihadkan kelajuannya
kepada 70 km/j bagi menjamin keselamatan dan disesuaikan dengan penggunaan di
dalam bandar.
Malah kesemua cermin sisi bas ini boleh dijadikan pintu
kecemasan dengan keseluruhannya terdapat 11 laluan bagi memudahkan penumpang
keluar jika berlaku nahas berbanding hanya satu atau pintu kecemasan pada bas
biasa.
Ia turut dilengkapi dengan kamera litar tertutup (CCTV) di
pintu dan tempat duduk belakangnya bagi memudahkan pemandu melihat keadaan di
bahagian belakang selain dapat sentiasa memantau pergerakan turun naik
penumpang.
Pengarah AMDAC (M) Sdn. Bhd, Lai Jin Yong berkata, kos
pengoperasian bas ini adalah lebih rendah berbanding bas biasa malah tidak
memerlukan penyelenggaraan berkala yang menelan kos tinggi.
Walau pun harganya tinggi iaitu
mencecah RM1.35 juta sebuah, kita yakin penggunaan bas ini mampu memberi
penjimatan jangka panjang ditambah potensinya dalam mengurangkan pencemaran.
Perkhidmatan bas ini juga
dijangka lebih meluas dalam masa lima hingga 10 tahun memandangkan kesan
positif seperti yang dilihat di negara yang telah lama menggunakannya,"
katanya ketika ditemui di Melaka Sentral di sini.
Sementara itu, Pemangku Pengurus Besar Panorama, Mohd. Saleh
Jusman berkata, bas yang kini dalam proses percubaan ini dijangka mula
beroperasi sepenuhnya di Melaka menjelang September ini.
Menurutnya, beberapa laluan telah dikenal pasti merangkumi
kawasan bandar raya dan jika segalanya berjalan lancar, sebanyak lapan hingga
10 buah bas akan disediakan bagi memulakan operasinya tidak lama lagi.
Sebagai sebuah bandar raya
warisan dunia, kerajaan negeri dan Panorama begitu komited dan serius untuk
melaksanakan operasi bas elektrik di negeri ini dalam menyokong matlamat bandar
raya hijau serta mengekalkan alam sekitar yang bersih," katanya.
Sumber:http://ww1.utusan.com.my/utusan/Selatan/20140110/ws_03/Pengangkutan-awam-masa-hadapan
Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/Selatan/20140110/ws_03/Pengangkutan-awam-masa-hadapan#ixzz3eiEIOQd8
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment