Kemalangan jalan raya ialah peristiwa ngeri yang biasanya
melibatkan perlanggaran dua kenderaan atau lebih di jalan raya atau pun lebuh
raya. Kemalangan sebegini biasanya boleh membawa kecederaan dan juga kematian.
Negara kita merupakan antara negara yang mempunyai angka kematian akibat
kemalangan yang tinggi. Oleh itu ada banyak punca yang harus kita kaji untuk
memahami masalah ini.
Punca pertama ialah kemalangan disebabkan oleh kecuaian
pemandu itu sendiri ketika menggunakan jalan raya. Ramai pemandu yang memandu
dalam keadaan mabuk dan mengantuk atau tidak sedarkan diri. Ada juga yang tidak
suka menjaga kenderaan mereka lalu kemalangan boleh berlaku kerana masalah
brek, tayar dan sebagainya. Mereka tidak menghiraukan keselamatan orang lain
ketika memandu kerana menganggap mereka cekap mengawal stering kenderaan. Jadi,
kemalangan mudah berlaku akibat kecuaian mereka ini.
Selain itu kemalangan juga disebabkan oleh keadaan jalan
raya yang tidak baik. Biasanya jalan raya menjadi lebih bahaya ketika waktu
hujan turun kerana air hujan menyebabkan jalanraya menjadi lebih licin lalu
sukar untuk dikawal jika pemandunya tidak berhati-hati. Begitu juga dengan
keadaan jalan raya yang tidak lurus dan turun naik yang menyukarkan pemandu
untuk memberi tumpuan lalu mudah berlakunya peristiwa ngeri ini. Maka, keadaan
jalan raya harus diubah supaya menjadi lebih selamat buat pengguna jalan raya.
Malah, ada pihak yang menyalahkan pemandu baru yang
menyebabkan kemalangan terus menerus berlaku di negara ini. Mereka dikatakan
tidak mahir untuk mengawal kenderaan terutama ketika dalam keadaan kecemasan
yang menyebabkan banyak yang panik. Golongan muda juga diselar kerana mereka
biasanya suka memandu dengan bahaya dan laju. Sesungguhnya, satu alat mekanisme
baru harus dicari untuk memastikan tahap pemanduan pemandu baru mencapai
piawaian yang baik.
Jumlah kemalangan bertambah juga berkaitan dengan jumlah
kenderaan yang bertambah setiap tahun. Pertambahan bilangan kenderaan
menjadikan lalu lintas begitu sibuk dan penuh dengan kenderaan. Sudah pasti
keadaan ini meningkatkan peratusan untuk sesuatu kemalangan itu berlaku di
jalan raya. Jelaslah, semakin banyak kenderaan di jalan raya risiko untuk
kemalangan berlaku amat tinggi.
Kesimpulannya, kadar kemalangan jalan raya di negara ini
begitu menakutkan kita semua. Satu usaha yang berani harus dilaksanakan oleh
pihak berkuasa untuk menghalang masalah ini menular lagi. Kita harus sedar
bahawa nilai nyawa manusia begitu berharga. Pandu cermat jika selamat.
Sumber:http://pmrbest.blogspot.com/
No comments:
Post a Comment