Friday 26 June 2015

AKHBAR KEMALANGAN JALAN RAYA






MENJELANG hujung tahun, seperti biasa jalan raya akan sesak dengan kenderaan yang keluar masuk dari seluruh negara untuk bercuti, tambahan pula kita masih lagi berada dalam musim cuti sekolah.
Dengan jumlah kenderaan yang semakin bertambah, hanya dengan sedikit kecuaian pemandu, maka kejadian dahsyat boleh berlaku tanpa diduga. Impaknya turut terkena kepada pengguna jalan raya yang lain mahupun mereka yang berada berdekatan dengan jalan raya.
Setiap hari sudah pasti ada berita nyawa yang melayang akibat kemalangan. Kadangkala ia bukan berpunca daripada pemandu itu sendiri, tetapi kerana kecuaian orang lain.
Hujan turut menyumbang kepada kadar kenaikan bilangan kemalangan. Kesedaran terhadap masalah ini harus dititikberatkan oleh semua pihak kerana segalanya boleh berlaku dalam sekelip mata sahaja.
Selain itu, kita juga perlu memastikan kenderaan kita berada dalam keadaan yang baik bagi mengelakkan masalah lain ketika berada di jalan raya.
Baru-baru ini, ada kejadian yang membuktikan mereka yang berada di tepi jalan raya juga berisiko ditimpa kemalangan apabila ada kenderaan yang disondol dari belakang, lalu merempuh kedai yang kebetulan dibina di tepi jalan raya.
Sukar untuk diterima dek akal, tetapi segalanya boleh dielakkan jika semua pengguna mematuhi undang-undang jalan raya yang telah ditetapkan. Jangan kerana sikap mementingkan diri sendiri, orang lain terpaksa menanggung padah.
Pihak yang bertanggungjawab juga perlu memainkan peranan penting bagi memastikan jalan raya berada dalam keadaan baik, papan tanda tidak terlindung oleh pokok dan lampu isyarat berfungsi setiap masa.
Sedih membaca akhbar tempatan baru-baru ini mengenai kanak-kanak menjadi mangsa kecelakaan jalan raya. Tolong sedar bahawa nyawa tidak boleh dicari ganti. Jadi, sila memandu secara berhemah dan berhati-hati.
Tidak perlu berbangga jika negara kita mencapai taraf negara maju tetapi memegang rekod sebagai antara negara yang mempunyai kadar kemalangan tertinggi di dunia.
MOHD. ALIF ALIAS

SUMBER: http://ww1.utusan.com.my/utusan/Keluarga/20131214/ke_02/Kemalangan-jalan-raya-menjadi-jadi#ixzz3dZHQ4mlY


© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment