KUALA LUMPUR 16 April – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin
Idris Shah berpuas hati serta bertambah yakin dengan sistem pengangkutan awam
di Lembah Klang selepas berkenan mencemar duli menaiki transit aliran ringan
(LRT) dan monorel hari ini.
Malah, Sultan Sharafuddin juga percaya bahawa sistem
pengangkutan awam merupakan penyelesaian terbaik bagi mengatasi masalah
kesesakan jalan raya di Lembah Klang yang menjadi kawasan termaju di Malaysia.
Pengerusi Prasarana Malaysia Bhd. (Prasarana), Tan Sri
Ismail Adam berkata, baginda bertitah dan berpesan kepadanya supaya
pengangkutan awam perlu diperbanyakkan lagi di Lembah Klang berikutan kecekapan
sistem pengangkutan itu dalam menangani masalah kesesakan jalan raya.
Malah, kata Ismail, sistem pengangkutan rel seperti LRT dan
monorel merupakan sistem pengangkutan yang sebahagian besarnya terletak di
negeri Selangor.
“Sultan Sharafuddin sendiri meminta kepada kami untuk
mencemar duli dengan merasa sendiri perjalanan pengangkutan awam seperti LRT
dan monorel. Sultan Selangor mahu melihat sendiri perjalanan pengangkutan awam
ini dan baginda berpuas hati serta bertambah yakin dengan sistem pengangkutan
tersebut,” katanya kepada pemberita selepas mengiringi lawatan Sultan
Sharafuddin menaiki LRT dan monorel di sini hari ini.
Sultan Sharafuddin menaiki LRT bermula pukul 11 pagi dari
stesen Kelana Jaya sehingga ke stesen KL Sentral.
Baginda juga membayar sendiri tiket LRT dengan nilai RM2.90
bagi perjalanan integrasi di antara Stesen LRT Kelana Jaya sehingga Stesen
Monorel Bukit Nenas.
Baginda dilihat berdiri di dalam LRT semata-mata untuk
melihat pemandangan dan pembangunan di sekitar Selangor dan pusat bandar Kuala
Lumpur.
Setibanya di stesen KL Sentral, baginda disambut oleh
Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Tan Sri Syed Hamid Albar
dan Pengarah Urusan Kumpulan MRCB, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din.
Dalam lawatan itu juga, baginda diiringi untuk mencuba
pengangkutan awam monorel dari stesen KL Sentral sehingga ke stesen Bukit Nenas
di sini.
Kehadiran Sultan Sharafuddin di tempat umum tersebut turut
menarik perhatian para pengguna pengangkutan awam.
Lawatan baginda diakhiri dengan majlis santapan tengah hari
di Hotel Concorde.
Sumber:
http://www.utusan.com.my/berita/nasional/sultan-selangor-berpuas-hati-pengangkutan-awam-1.81785
No comments:
Post a Comment