KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD)
yakin dapat mentransformasi sepenuhnya sistem pengangkutan awam darat di negara
ini menjelang 2020.
Pengerusinya, Tan Sri Syed Hamid Albar, berkata SPAD sedang
melaksanakan pelbagai langkah bagi menambah baik pengangkutan darat termasuk
membabitkan kenderaan berat.
"Sistem pengangkutan negara kita tidak pernah
diselarikan dengan kemajuan dan pembangunan negara... Bagi kami masa untuk ubah
dan tambah baik kerana untuk ubah sesuatu sistem yang dah lama wujud bukan
boleh siap dalam sehari," katanya kepada Bernama, di sini.
Katanya walaupun SPAD menerima banyak tentangan terhadap
usaha yang dilakukan, beliau menganggap halangan itu petunjuk bahawa mereka
berada di landasan yang betul.
"Sebenarnya keadaan fizikal sistem pengangkutan negara
kita baik tetapi saya yakin ia mampu menjadi lebih efisien dan cemerlang
sekiranya mendapat kerjasama pihak pengendali pengangkutan di luar sana untuk
menjadikannya lebih cemerlang," katanya.
Sejak ditubuhkan 2010, SPAD melaksanakan beberapa
pembaharuan bagi menambah baik pengangkutan awam, khususnya di Lembah Klang dan
yang terkini memperkenalkan perkhidmatan bas percuma Go-KL City Bus yang
mencetuskan kemarahan segelintir pengusaha teksi.
Menjawab isu itu, Syed Hamid yang mengakui ramai pemandu
terasa diri mereka dianiaya dengan tindakan tersebut, berkata tanggungjawab
SPAD memastikan orang awam mendapat perkhidmatan yang baik.
"Jika mereka marah dengan perkhidmatan bas percuma
Go-KL, perkara itu tidak sepatutnya kerana perkhidmata cuma melibatkan dua
laluan dan saya yakin jika perkhidmatan yang disediakan teksi memuaskan,
penumpang termasuk pelancong akan menggunakan perkhidmatan mereka,"
katanya.
Perkhidmatan bas percuma itu hanya meliputi Laluan Hijau
(KLCC-Bukit Bintang) sejauh 7.4 kilometer dan Laluan Ungu (Hab Pasar Seni-Bukit
Bintang) sejauh 6.5 km.
Syed Hamid juga mendedahkan perkhidmatan rel iaitu komuter
dan tren elektrik Keretapi Tanah Melayu Berhad paling banyak menerima rungutan
orang ramai kerana sering lewat dan tidak efektif.
Perkara itu katanya sedang ditangani termasuk dengan penambahan
36 gerabak baru.
Mengenai Pekeliling SPAD berhubung had muatan lori yang
dikuat kuasa 25 September lalu, Syed Hamid berkata pekeliling itu bagi
memastikan menjamin keselamatan pengguna jalan raya yang lain.
"Pekeliling itu untuk memastikan pengendali lori tidak
terlalu tamak membawa muatan sehingga membahayakan pengguna jalan raya yang
lain serta merosakan jalan.
"Jika jalan raya rosak, untuk membaikinya menggunakan
duit cukai dan ia adalah hasil kutipan cukai rakyat," katanya.
Sumber: http://www2.bharian.com.my/bharian/articles/SPADyakinbolehtransformasipengangkutanawamsebelum2020/m/mArticle
No comments:
Post a Comment