Thursday, 25 June 2015

ISU PARKIR,KOS TAMBANG PENGANGKUTAN AWAM DI KUALA LUMPUR



Kuala Lumpur tanpa tempat letak kereta atau parkir yang mencukupi bagi menampung peningkatan jumlah kenderaan yang memasuki ibu kota. Memang ada tempat letak kereta di dalam bangunan sama ada di pusat membeli-belah, pejabat dan hotel. Persoalannya masih belum mencukupi. Di kawasan tanah lapang juga disediakan parkir. Kadar bayaran pula tidak sama. Bagi kawasan lapang, kadarnya berbeza mengikut kawasan. Ada yang RM7 dan ada sehingga RM10. Selama mana tempat letak kereta di kawasan lapang ini mampu bertahan? Lambat laun, kawasan ini akan bertukar menjadi tapak binaan bangunan yang menempatkan ruang niaga, pejabat atau kediaman. Maka semakin kecil ruang untuk meletak kereta kecuali projek pembinaan turut membangunkan tempat letak kereta bertingkat. Mengikut perancangan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sudah memulakan usaha untuk mengurangkan tempat letak kereta kepada tahap 70 peratus di kawasan atau bangunan berhampiran stesen pengangkutan awam.

Langkah ini bertujuan menggalakkan orang ramai menggunakan sistem pengangkutan awam seperti sistem transit aliran ringan (LRT), My Rapid Transit (MRT), bas RapidKL, komuter dan sebagainya. Di kawasan laluan MRT dan perkhidmatan awam lain juga akan dibangunkan kemudahan 'park and ride'. Sejauh mana langkah DBKL mengurangkan tempat letak kereta dan meningkatkan kemudahan pengangkutan awam mampu menarik orang ramai mengelak daripada membawa kereta memasuki ibu kota? Golongan mana yang benar-benar akan 'mematuhi arahan' untuk mengelakkan kenderaan mereka memasuki ibu kota? Siapa pun mereka, golongan pekerja atau peniaga, tidak ada kuasa yang mampu menyekat mana-mana pihak untuk membawa kereta memasuki Kuala Lumpur. Jika ada peraturan sekali pun seperti yang dilakukan di negara jiran seperti Singapura, sudah tentu undang-undang atau peraturan itu akan dijadikan modal untuk menghentam pihak berkuasa. Sudah menjadi lumrah sesetengah rakyat Malaysia yang akan membantah apa sahaja peraturan yang sebenarnya bertujuan baik tetapi dianggap bakal menyekat 'kebebasan' mereka.

Ada sahaja alasan yang diberikan untuk mengukuhkan hujah menentang segala peraturan yang diperkenalkan. Bagi sesetengah orang, peraturan itu umpama 'hukuman' yang membebankan walaupun niat dan tujuannya untuk kebaikan bersama. Akhirnya, undang-undang dan peraturan hanya tinggal tulisan di atas kertas sehingga langkah-langkah penguatkuasaan sukar dilakukan. Akhirnya apakah hasrat untuk mengurangkan kemasukan kenderaan ke ibu negara akan menjadi kenyataan? Adakah langkah-langkah yang diambil mampu menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam? Segalanya terpulang kepada individu berkenaan.

Banyak faktor yang akan mendorong sama ada mereka menggunakan pengangkutan awam atau sebaliknya.

Pertamanya, mengambil kira kedudukan kewangan. Bagi yang berpendapatan rendah, sudah tentu pilihan mereka sama ada menggunakan pengangkutan awam yang murah seperti bas, LRT atau menggunakan motosikal. Bagi yang berpendapatan sederhana dan mempunyai kemudahan seperti kereta atau motosikal juga mempunyai pilihan untuk mengambil pendekatan yang sama tetapi bergantung kepada beberapa faktor lain. Bagi yang hidup lebih senang, mereka sudah tentu lebih selesa menggunakan kereta terus ke Kuala Lumpur walaupun terpaksa berhadapan dengan kesesakan di samping menanggung beberapa kos termasuk tol, minyak dan parkir.

Pengangkutan awam seperti LRT, komuter, MRT akan menjadi pilihan jika perkhidmatannya memenuhi keperluan pengguna termasuk menyediakan perkhidmatan yang cekap (tepat masa), selesa dan tambang yang berpatutan. Ketika ini di sesetengah kawasan, pemilik kereta dibebankan dengan kos parkir di stesen pengangkutan awam. Sebaik tiba di stesen destinasi, penumpang berkenaan kemungkinan terpaksa mengeluarkan kos tambahan untuk ke tempat yang dituju sekiranya tempat berkenaan terletak jauh dari stesen berkenaan. Lebih sukar lagi jika tidak ada pengangkutan bas yang mampu memberi perkhidmatan ke destinasi yang dituju.

Pilihan akhir mungkin teksi. Di sinilah yang menjadi faktor sesetengah orang memilih untuk membawa kereta ke destinasi atau tempat kerja walaupun terpaksa menghadapi kos minyak, tol dan parkir. Pengangkutan awam sokongan amat penting supaya pengguna perkhidmatan rel tidak terbeban untuk sama ada ke stesen atau meneruskan perjalanan dari stesen ke destinasi tertentu. Kekurangan perkhidmatan sokongan ini akan terus mendorong orang ramai menggunakan kereta sendiri untuk berurusan termasuk di kawasan-kawasan yang sudah mempunyai sistem pengangkutan rel ini.

Pada masa yang sama, lebih menggusarkan apabila terdapat ura-ura akan berlaku kenaikan tambang LRT dan teksi pada tahun depan. Sejauh manakah kebenarannya? Apa yang pasti, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) mengumumkan kadar tambang teksi yang baharu akan diketahui pada suku pertama tahun depan. Kadar itu mengambil kira kos utiliti, penyelenggaraan dan kos lain yang ditanggung oleh syarikat dan pemandu teksi.

Berapakah kadarnya? Pengerusi SPAD, Syed Hamid Albar berkata, kadarnya tidak membebankan pengguna. Tidak pasti apakah yang dimaksudkan tidak membebankan. Sebenarnya kenaikan sepuluh sen pun akan membebankan pengguna. Lihat sahaja apabila kerajaan menaikkan harga gula berikutan rasionalisasi subsidi. Banyak rungutan didengar. Begitu juga cadangan menaikkan kadar tol, tarif elektrik dan pelbagai lagi yang mendapat bantahan dan reaksi negatif. Mungkin yang kurang didengar kritikan hebat apabila harga rokok dinaikkan.

Berapa pun kenaikannya diharapkan kadar tambang teksi, LRT, bas sama ada bas ekspres atau bas sekolah tidaklah seperti kenaikan gaji 'Kabinet Selangor' yang bukan sekadar 10 sen tetapi antara 106 hingga 373.3 peratus. Kenaikan biarlah berpada. Berkaitan cadangan menaikkan tambang LRT, tindakan itu bakal membebankan pengguna. Ketika kerajaan menggesa rakyat menggunakan pengangkutan awam, pengguna 'dijerat' dengan kadar tambang yang terus meningkat. Harus diingat purata pendapatan penduduk bandar masih rendah. Janganlah menjadikan peningkatan gaji kakitangan awam sebagai ukuran bagi membolehkan keperluan lain ditingkatkan kerana ianya bukan petunjuk jelas pendapatan purata rakyat. SPAD seharusnya membuat kajian latar belakang pengguna yang rata-ratanya merupakan golongan pekerja kelas sederhana dan rendah.


Kita tidak menolak keperluan kenaikan tambang terhadap pengangkutan awam. Mustahil harga yang ada pada hari ini akan kekal sampai bila-bila. Samalah seperti harga gula, rokok, kenaikan gaji dan sebagainya yang terus berubah. Cuma SPAD perlu melihat mutu perkhidmatan serta keselesaan kepada pengguna sebelum melakukan kenaikan tambang bagi pengangkutan awam ini. Kerajaan juga perlu menjelaskan rasional terhadap peningkatan pelbagai kos yg dilihat seperti sudah dirancang menjelang tahun 2014 yang bakal tiba lebih kurang seminggu sahaja lagi.

Sumber:http://ww1.utusan.com.my/




No comments:

Post a Comment