Masyarakat digalakkan untuk menggunakan pengangkutan awam
kerana banyak kelebihannya.
Huraikan kelebihan-kelebihan pengangkutan awam kepada
masyarakat di negara ini.
Rangka Karangan
Pendahuluan
- Inovasi dalam sistem pengangkutan
Isi-isi Penting
i. mengurangkan kesesakan lalu lintas
ii. menjimatkan masa dan kos perjalanan
iii. memudahkan perjalanan seseorang
iv. mengurangkan pencemaran alam
Penutup
- lebih banyak kebaikan menggunakan pengangkutan awam
Karangan Contoh
Dunia sentiasa mengalami inovasi dalam sistem pengangkutan
dari semasa ke semasa. Dalam era globalisasi ini, pelbagai jenis kenderaan yang
moden telah dicipta bagi menggantikan kenderaan yang konvensional. Pada masa
ini, terdapat pelbagai jenis kenderaan awam seperti monorel, ERL, komuter, bas,
teksi, kapal terbang dan sebagainya. Pengangkutan awam yang moden itu pula
mampu untuk memainkan peranan yang penting kepada sesebuah negara untuk
mencapai kemajuan. Dengan perkataan lain, pengangkutan awam yang terdapat di
negara kita juga tidak kurang pentingnya kerana terdapat pelbagai kelebihan
yang akan diperoleh apabila masyarakat menggunakannya.
Kelebihan utama pengangkutan awam dapat mengurangkan
kesesakan lalu lintas di ibu kota atau bandar-bandar besar yang lain. Hal ini
demikian kerana kebanyakan rakyat Malaysia gemar menggunakan kenderaan sendiri
terutamanya ketika ingin menuju ke tempat kerja. Di samping itu, mereka
kebiasaannya bersikap bagai enau di dalam belukar, melepaskan pucuk
masing-masing ketika berada di jalan raya. Perkara ini akhirnya mengakibatkan
kesesakan jalan raya yang serius. Oleh itu, pengangkutan awam seperti komuter,
monorel, ERL (Express Rail Link), LRT (Light Rail Transit)) dan sebagainya
dapat memainkan peranan yang penting untuk membendung masalah kesesakan jalan
raya yang semakin kronik di ibu negara kita.
Penggunaan pengangkutan awam juga dapat menjimatkan masa dan
kos perjalanan. Sebagai contohnya, ERL dapat memendekkan masa perjalanan jika
dibandingkan dengan penggunaan kereta. Tambang pengangkutan awam seperti
komuter dan LRT juga amat berpatutan jika dibandingkan dengan masa
perjalanannya yang telah disingkatkan. Oleh itu, jika dibandingkan antara
pengangkutan awam dengan kenderaan biasa, masyarakat akan mendapat manfaat
sekiranya menggunakan pengangkutan awam. Harga petrol yang tidak menentu di pasaran
global telah memberikan impak yang negatif kepada rakyat yang menggunakan
kenderaan peribadi. Oleh hal yang demikian, banyak perbelanjaan boleh
dijimatkan sekiranya orang ramai menggunakan pengangkutan awam.
Selain itu, pengangkutan awam juga akan memudahkan
perjalanan seseorang ke sesuatu tempat. Dengan adanya pengangkutan awam seperti
ERL dan LRT, sistem pengangkutan yang lebih efisien berbanding dengan kenderaan
persendirian dapat diwujudkan tambahan pula banyak tempat di ibu kota yang
termasuk dalam jaringan pengangkutan awam tersebut. Perkara ini sekali gus
dapat meningkatkan kadar ketepatan atau kepantasan seseorang ke sesuatu
destinasi. Hal ini seharusnya diberikan pertimbangan oleh anggota masyarakat
agar menggunakan kenderaan awam untuk ke sesuatu destinasi. Oleh itu, kenderaan
awam sepatutnya menjadi pilihan utama masyarakat kerana kelebihannya banyak
sekali.
Penggunaan pengangkutan awam yang lebih mesra alam pula akan
dapat mengurangkan pencemaran alam sekitar. Pengangkutan awam seperti monorel,
LRT dan ERL ialah kenderaan awam yang mesra alam kerana tidak mengeluarkan
asap. Hal ini secara langsung dapat membendung pencemaran alam sekitar
terutamanya pencemaran udara di negara kita. Perkara yang di sebaliknya pula
akan berlaku jika seseorang menggunakan kenderaan persendirian mereka seperti
kereta atau motosikal yang terbukti menyebabkan pencemaran alam sekitar. Jadi,
pihak berkuasa perlulah mengambil langkah yang sewajarnya bagi menghalang
pencemaran udara yang semakin serius pada masa ini, seperti kata pepatah,
“Sediakan payung sebelum hujan”.
Intihanya, pengangkutan awam mempunyai kelebihan yang lebih
banyak jika hendak dibandingkan dengan penggunaan kenderaan persendirian. Oleh
itu, anggota masyarakat digalakkan untuk menggunakan pengangkutan awam jika
hendak pergi ke tempat kerja. Sekiranya langkah ini tidak diikuti sudah tentu
banyak masalah yang terpaksa dihadapi oleh anggota masyarakat akibat pencemaran
alam yang berpunca daripada asap kereta dan motosikal. Jadi, kita perlulah
menyokong langkah kerajaan yang menggalakkan penggunaan pengangkutan awam
melalui kempen ‘kongsi kereta’ untuk ke tempat kerja. Sekiranya kempen ini
mendapat sokongan daripada masyarakat, sudah tentu masalah pencemaran udara
dapat diatasi, di samping dapat menjimatkan perbelanjaan anggota masyarakat.
http://khirkassim.blogspot.com/2010/01/karangan-spm-berdasarkan-buku-teks.html
No comments:
Post a Comment