KUALA LUMPUR 28 Jun - Program transformasi pengangkutan awam
merekodkan kemajuan memberangsangkan dengan mencatatkan kenaikan 21 peratus
pada tahun ini berbanding 17 peratus pada 2010 bagi nisbah mod pengangkutan
awam bandar.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata,
jumlah pengguna pengangkutan awam pada waktu puncak pula mencatatkan sebanyak
437,525 penumpang pada setiap bulan iaitu telah berjaya melepasi sasaran purata
400,000 penumpang sepanjang tahun lalu.
Menurut beliau, peningkatan jumlah pengguna itu dipercayai
ekoran beberapa penambahbaikan yang diperkenalkan kerajaan kepada sistem
pengangkutan awam negara menerusi Bidang Keberhasilan Utama Negara( NKRA).
"Pertambahan peratus nisbah mod pengangkutan awam
bandar sepanjang empat tahun lalu itu semakin menghampiri sasaran kepada 25
peratus menjelang 2015 selain sasaran 750,000 penumpang pada setiap bulan serta
75 peratus rakyat akan mempunyai akses kepada laluan pengangkutan awam tahun
depan.
"Ketika Malaysia berhadapan ekonomi global dan
memulakan transformasi ke arah ekonomi berpendapatan tinggi, kita perlu
mewujudkan sistem pengangkutan awam bandar bertaraf dunia, selesa serta
menawarkan harga berpatutan selari dengan hasrat tersebut.
"NKRA Mempertingkatkan Pengangkutan Awam Bandar (UPT)
diperkenalkan untuk menangani masalah-masalah pengangkutan yang biasa kita
dengar dan pada masa sama membolehkan keseluruhan infrastruktur menyokong
kemajuan negara,"katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Kompleks
Parkir Bertingkat Park n Ride di stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Ampang, di sini hari
ini.
Yang turut hadir Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong
Lai; Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD), Tan Sri Syed Hamid
Albar dan Pengerusi Syarikat Prasarana Negara Berhad, Tan Sri Ismail Adam.
Kompleks bernilai RM30 juta itu dilengkapi 1,140 petak
kenderaan dengan 144 petak dikhaskan untuk golongan wanita dan 20 petak
istimewa untuk golongan orang kurang upaya (OKU).
Muhyiddin berkata, kerajaan turut membina kemudahan 30 `Park
n Ride lain di stesen-stesen LRT, KTM Komuter
dan Express Rail Sdn. Bhd. (ERL) sekali gus bakal menyediakan 11,000 petak
kenderaan untuk pengguna pengangkutan awam di Lembah Klang menjelang 2015.
Selain itu, kata beliau, beberapa penambahbaikan lain juga
diperkenalkan bagi sistem pengangkutan awam seperti penambahan kapasiti set
tren perkhidmatan KTM Komuter daripada tiga kepada enam gerabak serta
mewujudkan hab pengangkutan awam bersepadu yang strategik seperti Terminal
Bersepadu Selatan (TBS) di Bandar Tasik Selatan.
"Inisiatif lain termasuk meningkatkan perhubungan
perjalanan dan menyediakan perkhidmatan bas bandar percuma (Go-KL) yang
berfungsi untuk menarik minat terhadap penggunaan pengangkutan awam dengan
lebih meluas.
"Inisiatif ini merupakan contoh komitmen kerajaan dalam
memastikan keselesaan rakyat menjadi keutamaan selain ia merupakan Petunjuk
Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan kepada Menteri Pengangkutan,"katanya.
Muhyiddin sebelum itu bersama-sama rakyat menaiki tren LRT
ke Stesen Ampang dan kemudiannya melakukan tinjauan parkir bertingkat di situ.
No comments:
Post a Comment