Friday 26 June 2015

PERAK KOMITED TINGKATKAN PENGANGKUTAN AWAM




IPOH 8 Feb. - Pembinaan Kompleks Terminal Bas Bersepadu Bandaraya Ipoh di Bandar Meru Raya di sini, merupakan usaha berterusan kerajaan negeri dalam menyediakan sistem pengangkutan awam terbaik kepada rakyat.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, kompleks bernilai RM38 juta itu akan berperanan sebagai pusat hentian bas antara negeri dan bandar yang lebih selesa apabila siap dalam tempoh dua tahun kelak.

"Usaha ini selaras dengan hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Rzak menerusi Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA) yang mahu sistem pengangkutan awam dinaik taraf," katanya.

Beliau menyatakan demikian pada sidang media selepas merasmikan pelancaran permulaan kerja pembinaan Kompleks Terminal Bas Bersepadu Bandaraya Ipoh di sini, hari ini.

Pusat berkenaan akan turut berperanan sebagai pusat perdagangan dan perniagaan bagi merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi negeri.

Turut hadir Pengarah Urusan The Combined Bus Services, Cheong Kong Fitt dan Ketua Eksekutif The Combined Bus Services, Datuk Hiew Yew Chan.

Zambry berkata, Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) juga sedang dalam proses perbincangan dengan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) bagi membina sebuah lagi pusat pengangkutan awam bersepadu di tengah bandar raya Ipoh.

Jelas beliau, projek yang dinamakan Ipoh Sentral itu akan menghubungkan semua pengangkutan awam di bandar raya ini iaitu kereta api, bas dan teksi.

Katanya, pembinaan kemudahan itu akan melengkapkan jaringan pengangkutan awam di Perak sekali gus menjadikannya lebih cekap dan menarik lebih ramai pengguna.

Mengenai sistem pengangkutan awam yang lemah di daerah-daerah, beliau berkata, masalah tersebut perlu diselesaikan segera demi kepentingan rakyat.

Justeru, katanya, kerajaan negeri telah memohon peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan untuk menaik taraf sistem pengangkutan awam di seluruh negeri yang telah uzur dan menjadi rungutan rakyat.

"Sistem pengangkutan awam di setiap daerah perlu diperbaiki dan dinaik taraf, kita tidak mahu hanya tumpu usaha di Ipoh sahaja.

"Boleh dikatakan semua sistem pengangkutan awam di peringkat daerah perlu diberi perhatian serius kalau tidak usaha menyediakan perkhidmatan terbaik tidak akan tercapai," katanya.

Beliau menambah, kerajaan negeri juga bersedia untuk menyediakan subsidi kepada operator bas awam kerana menyedari perniagaan itu tidak akan mendatangkan keuntungan kepada mereka.

"Kita perlu sedar jumlah penumpang tidak ramai dan operator akan mengalami kerugian, jadi kita akan beri subsidi demi kepentingan rakyat luar bandar," katanya lagi.



 Sumber: penggunahebat.blogspot.com




No comments:

Post a Comment