Tuesday, 2 June 2015

INFO PENGASAS YANG PERTAMA DI MALAYSIA

Kuala Lumpur, 24 Oktober 2011 -  Dilahirkan di Petaling Jaya dan membesar di Lembah Klang, Datuk Shahril Mokhtar amat faham tentang kemudahan sistem pengangkutan awam. Lebih tepat lagi, tentang ketidak-selesaan yang perlu ditanggung oleh para pengguna pengangkutan awam khususnya bas.
Menerima pendidikan awal di Sekolah Rendah St. John, Bukit Nanas, Pengarah Urusan Kumpulan Syarikat PRASARANA Negara Berhad (PRASARANA) itu – seperti juga ramai wargakota seperti beliau - cukup kagum dengan keberanian dan kecekapan para pemandu bas mini, yang menjadi pengangkutan wargakota pada tahun 1980an. Sesak dengan penumpang sehingga menjulur keluar pintu dan berleluasa dengan kes penyeluk saku dan penumpang lelaki biadap, yang sentiasa mengambil kesempatan ke atas penumpang wanita.
Kenderaan Bas Sri Jaya, yang menjadi pilihan Shahril ketika menuntut di Sekolah Menengah Lembah Keramat sehingga akhir 1989, juga tidak kurang dengan kes wanita kena raba dan penyeluk saku di samping kisah lapuk mengenai perkhidmatan kelas murah dengan para penumpang yang bersesak-sesak.
“Saya membesar di Lembah Klang dalam era bas mini dan bas Sri Jaya ini. Dan, saya rasa seluruh wargakota cukup faham dengan keadaan tidak selesa ketika itu. Kisah pemandu bas mini seperti berlumba di jalanraya; bas Sri Jaya yang tidak kering dengan rungutan. Jika dibandingkan dengan sekarang, kita sudah maju berpuluh kali ganda. Tetapi, jika anda tanya saya, masih terlalu banyak ruang yang boleh dibaiki.
“Sasaran saya adalah untuk menjadikan sistem pengangkutan awam negara ini berkelas dunia. Itulah juga yang menjadi matlamat operasi PRASARANA sekarang – menyediakan sistem pengangkutan awam yang kita boleh banggakan,” kata Shahril, yang dianugerahkan Darjah Indera Mahkota Pahang bersempena Hari Keputeraan Sultan Pahang pada 24 Oktober.
Ditubuhkan pada 11 Ogos 1998, PRASARANA adalah syarikat milik penuh kerajaan yang diamanahkan Kerajaan untuk meningkatkan lagi standard sistem pengangkutan awam negara. Bersama-sama dengan anak-anak syarikatnya, PRASARANA juga dipertanggungjawabkan untuk mengendalikan perkhidmatan-perkhidmatan awam utama di Lembah Klang.
Selepas mengambil alih operasi LRT PUTRA dan STAR pada 30 Ogos 2002, PRASARANA mengambil alih aset syarikat bas Cityliner pada bulan April 2004 sebelum meluaskan operasinya kepada KL Monorail pada Disember 2007. Turut menjadi sebahagian daripada operasi PRASARANA sekarang adalah perkhidmatan kereta kabel Langkawi, yang kini bergelar Panorama Langkawi, dan perkhidmatan bas awam Pulau Pinang di bawah nama RapidPenang.
“PRASARANA juga akan turut bertanggungjawab untuk operasi MRT (My Rapid Transit). Projek itu bermula dengan kami; tetapi urusan pembinaannya kini dipertanggungjawabkan kepada syarikat MRT Co. Selepas siap nanti, ia akan diserahkan semula kepada PRASARANA dan di bawah perancangan, operasi MRT kami akan bermula pada 2017.
“Jadi, secara keseluruhan, kami di PRASARANA memegang amanah kerajaan yang cukup besar untuk mentransformasi sistem pengangkutan awam negara dengan Lembah Klang menjadi nadi kepada transformasi ini,” kata Shahril, yang dilantik sebagai Pengarah Urusan Kumpulan pada bulan Oktober tahun lepas.
Melangkah ke PRASARANA daripada Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) di mana beliau menjadi Ketua Pegawai Operasi, Shahril secara jujur mengaku bahawa sistem pengangkutan yang ada sekarang belum mencapai tahap yang memuaskan hati orang awam.
“Perkara ini diakui sendiri oleh Kerajaan; malahan YAB Perdana Menteri sendiri. Walaupun sudah meningkat; tetapi belum sampai ke tahap yang memuaskan hati orang awam. Kita sendiri boleh baca rungutan para pengguna hampir setiap hari dalam suratkhabar, dalam Twitter dan dalam Facebook.
“Tetapi, kita mahu mengubah perkara ini dan saya lihat kerajaan pimpinan YAB Datuk Seri Najib begitu komited terhadap perkara ini. Ini dipancarkan melalui penubuhan SPAD itu sendiri. Ia juga terpancar dalam Pelan Transformasi Kerajaan, yang meletakkan trans formasi pengangkutan awam sebagai salah satu daripada enam bidang dalam NKRA,” kata graduan Universiti Missouri, Amerika Syarikat dalam jurusan Psikologi Industri dan Organisasi.
“Secara peribadi, saya secara jujur mengatakan bahawa saya tidak pernah melihat seorang Perdana Menteri yang begitu serius dalam mempertingkatkan pengangkutan awam,” kata Shahril, yang mengakui bahawa perjalanan dalam mentransformasi pengangkutan awam negara masih jauh.
“Sekarang ini, keberkesanan sistem pengangkutan awam dalam menyokong keperluan pengangkutan sekarang hanyalah 14 peratus. Kita masih jauh dalam mencapai sasaran 25 peratus yang ditetapkan pada akhir tahun depan. Kerana itu, kita perlu bergerak pantas
“Tetapi, kami di PRASARANA akan menyahut cabaran ini. Bagaimanapun, kita perlu menerima hakikat bahawa transformasi ini tidak akan mengambil masa minggu ataupun bulan. Sebaliknya, ia memerlukan tahun dan ia memerlukan komitmen dan dedikasi,” tegas Shahril, yang merupakan antara tokoh yang bertanggungjawab untuk penubuhan SPAD.
Ketika berkhidmat sebagai Pengurus Besar Strategi dan Perancangan Korporat RapidKL, Shahril dipinjamkan kepada interim SPAD antara bulan Disember 2009 dan April 2010 bagi membantu Kerajaan dalam penubuhan suruhanjaya berkenaan, yang bertanggungjawab dalam merancang, menyelia dan menguatkuasa semua hal yang berkaitan pengangkutan awam.
Sebelum itu, beliau juga pernah dipinjamkan ke Kementerian Pengangkutan pada tahun 2009 untuk menjadi Timbalan Ketua dalam Makmal Pengangkutan Awam Bandar (UPT) di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi membantu Kerajaan membangunkan inisiatif-inisiatif utama pengangkutan awam Bandar.
Dalam memikat orang ramai untuk mengubah sikap dan  menggunakan pengangkutan awam,  PRASARANA telah melaksanakan pelbagai program peningkatan kualiti perkhidmatan seperti  memperkenalkan perkhidmatan Bas Expressway Transit (BET) dan Fleet Tracking System (FTS) di samping menaik-taraf hab bas dan laluan baru serta meningkatkan frekuensi serta pembelian bas-bas baru.
“Di samping membeli bas-bas baru dengan kemudahan akses universal, kami turut menaik-taraf sebilangan bas-bas sekarang untuk mesra OKU,” kata Shahril, yang turut memiliki ijazah Sarjana dalam Pengurusan dari Universiti Malaya.
 Untuk perkhidmatan LRT, kami telah meningkatkan kekerapan tren sekali gus mengurangkan waktu menunggu sehingga kurang daripada 2 minit. Kami juga membeli tren-tren baru empat gerabak untuk laluan Kelana Jaya dan kini dalam proses menambah bilangan tren enam gerabak untuk laluan LRT Ampang.
“Kami juga menambah kemudahan-kemudahan di stesen di samping menaik-taraf semua stesen-stesen laluan Ampang untuk menyediakan kemudahan akses universal. Untuk para pengguna RapidKL Monorail, kami juga dalam proses meningkatkan standard perkhidmatan kami dengan program pembesaran stesen, penambahan fleet dan penyambungan laluan monorel sekarang.
“Keseluruhan rangkaian rel – LRT Kelana Jaya, LRT Ampang dan RapidKL Monorail akan turut melalui proses bersepadu bersama-sama dengan rangkaian bas RapidKL dan sistem MRT yang akan mula beroperasi pada 2017,” tambah Shahril, yang turut dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah MRT Co,. atau My Rapid Transit Corporation Sdn Bhd.
Shahril menambah “Projek MRT menjadi sandaran utama dan tulang belakang kepada proses transformasi pengangkutan awam. Dengan sokongan daripada projek MRT ini, kami berharap untuk meningkatkan penggunaan perkhidmatan awam kepada 25 peratus.
“Dengan MRT, kita akan mempunyai lima laluan rel. MRT bukan sekadar menjadi agen transformasi kepada pengangkutan awam; tetapi juga pemangkin ekonomi. MRT akan menghasilkan mobiliti dan meningkatkan produkiviti dan ini akan menjadi kunci kepada kejayaan Malaysia merealisasikan impian menjadi negara maju menjelang 2020,” kata Shahril, yang juga Naib Presiden Jawatankuasa Eksekutif International Association of Public Transport Divisyen Asia Pasifik.
Di kalangan wargakerja PRASARANA, Shahril turut mempelopori program-program pembaharuan melalui Go Forward Plan (GFP), yang merupakan pelan dan strategi syarikat dalam mempertingkatkan mutu perkhidmatan, penyampaian projek dan kedudukan kewangan syarikat secara keseluruhan.
“Secara ringkas, GFP adalah program transformasi dalaman PRASARANA dan kami harap ia akan menjadi platform dalam misi besar kami merubah pengangkutan awam negara ke status negara maju dan kebanggaan semua rakyat Malaysia. Itu harapan kami di PRASARANA,” tambah Shahril.


Sumber:http://www.myrapid.com.my/











No comments:

Post a Comment