Friday, 26 June 2015

PENCEMARAN UDARA.










APAKAH benar ramai di antara kita tidak menghiraukan pencemaran alam di
sekeliling kita? Itulah sebabnya kebanyakan penduduk negara ini tidak
prihatin, malah tidak mengendahkan pelbagai usaha dilakukan pihak berkuasa
untuk memelihara alam sekitar.
Salahkah anggapan bahawa rakyat negara ini pada keseluruhannya tidak
dapat menghayati kehendak alam sekeliling dan sukar memahami bahawa
tindak-tanduk mereka walaupun dianggap remeh, jika dibiar berleluasa boleh
mencemari alam semula jadi.
Tidak hairanlah jika ada jiran kita sendiri terus membakar sampah di
halaman rumah, membuang sisa dapur ke dalam longkang di tepi rumah atau
membiarkan sampah-sarap di merata-rata. Kita juga amat kurang komitmen
dalam usaha mengitar semula pelbagai barang yang sudah digunakan.
Jika ada sekali pun di kalangan kita yang lebih prihatin dan menegur
jiran membakar sampah, tidak mustahil mereka ini diherdik: "Bakar sikit
saja takkan boleh mencemar keadaan sekeliling."
Bagaimana pula dengan pelbagai jabatan dan agensi kerajaan termasuk,
pihak berkuasa tempatan serta sektor swasta seperti pengilang, pengusaha
dan pelbagai syarikat kecil, sederhana dan besar? Apakah semuanya prihatin
terhadap usaha memelihara alam sekeliling?
Sedihnya tidak banyak di antara pengusaha dan syarikat, mahu pun orang
ramai yang mempunyai kesedaran terhadap pentingnya persekitaran alam
dipelihara supaya tidak tercemar. Ramai seolah-olah tidak menghiraukan
kualiti kehidupan mereka sendiri hanya kerana pentingkan keuntungan jangka
pendek.
Keadaan ini amat berbeza dengan rakyat dan syarikat di negara maju yang
umumnya sedar tanggungjawab mereka terhadap persekitaran dan betapa
pentingnya memelihara kualiti kehidupan.
Tidak hairanlah di negara kita pelbagai syarikat pembuat, pengusaha,
pemaju dan sebagainya akan mematuhi peraturan memelihara alam sekitar
hanya bila ada pemantauan dan tindakan penguatkuasaan. Biasanya mereka
akan mencari jalan untuk memintas segala peraturan yang ada kerana tidak
ada kesedaran terhadap pentingnya alam sekitar tidak dicemari.
Apa tidaknya kalau dilihat daripada pelbagai tindak-tanduk pihak
berkenaan itu. Orang ramai yang mendiami tepi sungai terus menganggap
sungai sebagai tempat membuang sampah. Kilang berterusan membuang sisa
pepejal dan kimia ke dalam longkang atau sungai berdekatan. Ada juga
kilang yang membakar bahan buangan pada sebelah malam apabila tidak ada
usaha penguatkuasaan.
Pemaju pula terus memusnahkan persekitaran apabila membangunkan kawasan
perumahan dengan menggondolkan tanah daripada segala tumbuhan, tanpa
menyediakan tempat takungan supaya air hujan tidak terus mengalir ke
sungai dan boleh menyebabkan banjir.
Demikian pula penempatan haram terus diusahakan hingga ke kawasan hutan
simpan tanpa sekatan oleh mana-mana pihak berkuasa tempatan. Kilang haram
juga dibiarkan terus beroperasi mencemari kawasan persekitaran mereka
dengan membuang sisa ke dalam longkang atau sungai berhampiran.
Usaha untuk membanteras keadaan begini biasanya dihalang oleh pihak
tertentu yang berkepentingan, termasuk ahli politik yang kononnya
menganggap sebarang tindakan ke atas kilang haram itu boleh menjejas
pekerjaan ramai pengundi mereka.
Jelas sekali kesedaran dan komitmen rakyat, pihak berkuasa dan swasta
terhadap usaha memelihara alam sekitar supaya tidak terus tercemar amat
berkurangan. Apa yang perlu dilakukan kerajaan ialah berusaha memberikan
kesedaran secara berterusan kepada seluruh rakyat mengenai pentingnya
persekitaran dipelihara dan tidak dimusnahkan.
Kerana kurangnya kesedaran inilah, persekitaran terus dicemari dan
begitu banyak sungai di negara ini yang kini dilanda pencemaran amat teruk
sehingga ada yang boleh dikatakan sudah `mati' seperti Sungai Juru di
Seberang Prai, Sungai Seget di Johor Bahru dan Sungai Korok di Alor Star,
manakala banyak pula yang lainnya sudah tidak lagi dapat menampung
kehidupan ikan.
Ramai pula penduduk tidak memahami fungsi hutan paya dalam pemeliharaan
ekosistem dan sumber laut. Jadi tidak hairan sudah berapa banyak kawasan
paya bakau ditambak untuk dimajukan sebagai tapak hotel di tepi laut atau
digunakan untuk ternakan udang.
Malah bukan saja hutan simpan yang hendak dimajukan, hutan paya bakau
dan paya gambut yang menjadi sebahagian penting ekosistem turut mahu
dimajukan oleh pemaju perumahan baik di Pulau Pinang, Kedah atau Perak.
Pembangunan dengan menghapuskan hutan paya ini menjejaskan keadaan laut
dan sumber di persekitarannya. Hanya kini dengan berlakunya kemusnahan
beberapa kawasan pantai yang dipukul tsunami pada 26 Disember lalu, baru
ada kesedaran betapa pentingnya paya bakau dipelihara kerana selain
daripada fungsinya memelihara ekosistem, ia juga boleh menjadi benteng
untuk mengurangkan kesan pukulan ombak.
Di antara sungai yang teruk tercemar ialah Sungai Klang dan anak
sungainya iaitu Sungai Bunus dan Sungai Gombak yang mengalir merentasi
sebahagian besar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Akhbar ini pada 2003
pernah berusaha untuk mendapatkan sokongan pelbagai pihak kerajaan, swasta
dan orang ramai melaksanakan usaha untuk memulihara Sungai Klang melalui
beberapa siri rencana mengenainya. Malangnya, usaha itu tidak mendapat
sokongan dan keadaan Sungai Klang yang teruk tercemar sedikit pun tidak
berubah.
Sungai Klang sebenarnya boleh menjadi penyeri ibu kota dan digunakan
untuk kepentingan pelancongan seperti dilakukan di beberapa negara luar
yang berjaya membersihkan sungai yang tercemar seperti Sungai Singapura,
Sungai Thames (London), Sungai Hudson (New York) dan Sungai Rhine
(Jerman). Apa yang diperlukan ialah komitmen dan kesungguhan pihak
berkuasa untuk melakukannya.
Di Singapura misalnya, pemerintahnya bermula dengan mengenal pasti punca
pencemaran yang terdiri daripada pelbagai kegiatan di sepanjang sungai.
Dengan itu, ia menempatkan semula sekitar 26,000 keluarga yang tinggal di
sepanjang tebing sungai ke rumah pangsa yang dibina pemerintah.
Kira-kira 5,000 penjaja dipindahkan ke pusat jualan makanan, kilang yang
dikenal pasti mencemarkan sungai berkenaan, dipindahkan ke kawasan khas
perindustrian. Selain itu, lebih 200 tan sampah dikaut dari sungai,
manakala lorong pejalan kaki di sepanjang sungai diadakan. Kawasan
rekreasi juga dibina di sepanjang sungai, manakala pasir diimport untuk
dijadikan `pantai' untuk semua. Usaha ini amat berjaya dengan sungai itu
kini antara tarikan utama pelancongan.
Apakah usaha pembersihan begini tidak boleh dilakukan? Yang perlu ialah
menyediakan senarai punca pencemaran dan selepas itu tindakan dilakukan
secara tegas dan saksama. Jika ada kemahuan apa pun boleh dilakukan.
Diharapkan dengan saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad
Badawi, minggu lalu yang menghendaki sebuah konsortium diwujudkan di
kalangan swasta untuk membersihkan ke tiga-tiga sungai itu, usaha
berkenaan akan dapat dilakukan.
Sebenarnya, suatu projek pembersihan dan pemulihan Sungai Klang pernah
dilancarkan pada 1990 antara Jabatan Pengairan dan Saliran dengan
kerjasama Jabatan Alam Sekitar, Urusetia Perancangan Lembah Klang dan
Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar ketika itu.
Projek berkenaan bertujuan membersih sungai daripada kotoran sampah-
sarap dan kelodak serta memulih semula imej Sungai Klang sebagai sumber
air bagi Lembah Klang. Bagaimanapun, projek itu gagal mencapai matlamatnya
kerana kualiti airnya masih tidak dapat dipulihkan lebih-lebih lagi
daripada sisa organik, sisa kimia, sisa terampai dan sisa pepejal.
Apa pun, kini satu usaha drastik perlu dilakukan jika ketiga-tiga sungai
yang merentasi Lembah Klang itu hendak dibersihkan. Perkampungan di tebing
sungai seperti juga kilang, baik yang berlesen mahu pun yang haram harus
dipindahkan. Mereka yang degil hendaklah dikenakan tindakan.
Satu siri penerangan juga harus diberikan kepada semua supaya majoriti
akan bersimpati dengan usaha ini dan tidak lagi menganggap ketiga-tiga
sungai berkenaan sebagai saluran membuang sampah dan sisa perindustrian,
sisa pasar basah, bahan kumbahan yang tidak dirawat serta sampah-sarap
kilang.
Kerajaan Selangor sudah membuat keputusan hendak mendapatkan air dari
Pahang bagi menampung permintaan air bersih yang semakin meningkat di
kawasan Lembah Klang berikutan pengalaman pahit yang melanda kawasan itu
pada 1998 apabila bekalan air terpaksa dicatu untuk pengguna di Lembah
Klang.
Ramai pencinta alam mengharapkan dengan usaha pemulihan itu, Sungai
Klang akan dapat dijadikan sumber utama untuk menampung keperluan bekalan
air di Lembah Klang. Kerajaan Selangor dengan itu tidak lagi perlu
mendapatkan bekalan air mentah dari Sungai Pahang seperti yang dirancang.
Ini bukan saja dapat menjimatkan perbelanjaan yang mencecah lebih RM4
bilion, malah akan dapat menghindar daripada pencemaran alam sekitar
sekiranya beberapa ampangan dan terowong sejauh 44 kilometer tidak lagi

diperlukan.




sumber:www.doe.gov.my/library

No comments:

Post a Comment