Sudah terang lagi bersuluh,semakin hari kita semakin
menghampiri ambang 2020.Keadaan ini telah membawa kita mendepani realiti dunia
baru yang pantas berubah dan berkembang.Namun,sejak dua dan tiga dekad
kebelakangan ini sering meniti dari bibir ke bibir umat manusia di segenap
empat penjuru. Isu kemalangan jalan raya kini dilihat tiada kesudahannya.Malah
menurut satu kajian yang dijalankan oleh sebuah badan swasta menunjukkan bahawa kadar peratusan kemalangan
jalan raya meningkat sebanyak lima peratus
dari tahun ke tahun.Bukti yang boleh dilampirkan sebagai sokongan kepada
fakta ini ialah,hampir setiap akhbar memaparkan mengenai kes-kes kemalangan
jalan raya sebagai tajuk besar di halaman hadapan dada-dada akhbar.Lantaran
itu,cuba kita renung sejenak,sudah berapa banyak nyawakah yang terkorban akibat
kelalaian diri mahupun pihak-pihak yang bertanggungjawab dalam kemalangan jalan
raya di negara kita,dalam tempoh beberapa dekad kebelakangan ini? Bilangannya
pasti tidak terkira. Namun begitu,setiap penyakit pasti ada penawarnya.Begitu
juga dengan kes-kes sebegini.Pelbagai langkah yang pragmatik lagi sistematik
dapat dijalankan oleh semua pihak bagi menangani masalah kemalangan jalan raya
yang sudah begitu lama berlaku di negara kita.
Memang tidak dapat dinafikan dan disangkal lagi bahawa segala
penyelesaian kepada sesuatu masalah bermula daripada individu itu sendiri. Bagi
mengorak langkah menangani kemalangan jalan raya ini,setiap individu di
Malaysia haruslah melaksanakan anjakan paradigma dengan mengamalkan cirri
pemanduan berhemah semasa di jalan raya.Ciri pemanduan dapat dipraktikkan
dengan mengenakan topi keledar bagi penunggang motorsikal serta memandu
mengikut had laju yang telah ditetapkan.Dengan mengamalkan ciri pemanduan
berhemah ini,sudah tentu individu akan dapat mengelakkan diri daripada terjebak
dengan perkara-perkara yang mendorong ke arah kemalangan jalan raya kerana umum
mengetahui bahawa malang tidak
berbau.Namun apa yang mengecewakan ialah terdapat sebilangan individu yang
memandang enteng terhadap perkara ini dengan langsung tidak mempraktikkan ciri
tersebut kerana beranggapan garis panduan tersebut hanyalah untuk mereka yang
tidak tahu memandu atau bagi pemandu-pemandu baru.Tetapi disebabkan mentaliti
mereka yang beranggapan sedemikianlah,kecenderungan untuk berlakunya kemalangan
jalan raya amatlah tinggi.Janganlah sudah terhantuk baru tengadah.Ingatlah
nyawa manusia tidak dapat digantikan dengan apa-apa barang mahupun wang
ringgit.Selain itu,setiap individu juga perlulah bijak mengawal emosi khususnya
semasa memandu.Hal ini demikian kerana tahap kesabaran seseorang pemandu itu
pasti akan teruji tatkala dia berada dalam kesesakan jalan raya sebagaimana
yang sering berlaku di bandar-bandar utama seperti Johor Bharu dan Kuala
Lumpur.Kesannya,mereka bersikap serakah di jalan raya dengan memandu dalam had
laju yang tinggi serta melanggar lampu isyarat.Berpeganglah kepada kewarasan
akal yang rasional dalam apa-apa jua keadaan,bak kata peribahasa,ikut hati
mati,ikut rasa binasa.Oleh itu,jadikanlah pemanduan berhemah sebagai amalan kerana
pandu cermat jiwa pasti selamat.
Selain itu,kerajaan perlu sama memainkan peranan penting
dalam usaha penyelesaian ini.Perundangan merupakan satu langkah yang penting
untuk menyelesaikan masalah salah laku jalan raya. Tanpa perundangan,
pemandu-pemandu yang jahat dan “tidak masuk ajar” akan terus mengancam
keselamatan jalan raya.Perundangan boleh dikategorikan kepada dua bahagian yang
besar iaitu pembentukan undang-undang dan penguatkuasaan
undang-undang.Pembentukan undang-undang merupakan asas kepada perundangan.
Undang-undang yang dibentuk seharusnya mempunyai kesan psikologi ke atas
pengguna jalan raya yang jahat dan praktikal pula kepada pihak polis untuk
dilaksanakan. Dengan adanya undang-undang yang membawa hukuman yang menakutkan
maka sebahagian besar pengguna jalan raya akan takut terlibat dalam salah laku.
Bagi segelintir pengguna jalan raya yang keras kepala dan mengancam keselamatan
awam maka di bawah undang-undang mereka boleh dihalang untuk terus demikian
dengan mekanisme kepenjaraan.Undang-undang tidak akan sempurna sekiranya ia
tidak dilengkapi dengan penguatkuasaan undang-undang. Penguatkuasaan yang baik
sememangnya boleh meningkatkan kewibawaan undang-undang dan kesannya terhadap
keselamatan awam. Untuk itu pihak berkuasa haruslah dilengkapi dengan pelbagai
kemudahan.Sebagai tambahan,penguatkuasaan undang-undang perlu dilaksanakan dan
hukuman berat mesti dikenakan terhadap sesiapa yang berani melanggar peraturan
di jalan raya,bak kata peribahasa, "setinggi-tinggi terbangnya bangau,
akhirnya pasti jatuh ke tanah". Tamsilnya, cadangan agar pesalah laku
trafik haruslah didenda sekurang-kurangnya RM500 atau dipenjarakan selama enam
bulan perlu diterima pakai bagi mengurangkan kadar kemalangan jalan raya dan agar pengguna jalan raya tidak akan berani
memperlekeh amaran kerajaan lagi.Tambahan lagi, kerajaan juga mestilah memperketat tahap kelulusan ujian yang
dijalankan untuk menguji pemandu kenderaan.Kebanyakkan daripada
pengguna-pengguna yang terlibat dalam kemalangan jalan raya ialah mereka yang
berdarah muda. Lalu,usaha kerajaan mestilah berlandaskan peribahasa di mana ada
kemahuan, di situ ada jalan. Lesen-lesen tidak harus diberikan kepada para
pemandu dengan mudah agar kesedaran sivik mengenai pentingnya menuruti segala
peraturan jalan raya yang ditetapkan benar-benar tersemai dalam sanubari
mereka.
Rentetan itu, kerajaan mesti sentiasa membiayai
perbelanjaan untuk mengadakan pelbagai
kempen kesedaran..Polis DiRaja Malaysia dan Jabatan Pengangkutan Jalan Raya
merupakan antara pihak yang acap kali diberi obligasi dalam melaksanakan kempen
kesedaran seperti Kempen Keselamatan Jalan raya. Kempen-kempen ini haruslah
diadakan dengan objektif menyedarkan para pengguna jalan raya tentang
kepentingan mematuhi peraturan jalan raya. Inisiatif ini mampu membantu
meminimumkan kemalangan di jalan raya yang terus berlaku. Namun begitu,jika
hanya sebelah pihak sahaja yang bersungguh-sungguh melaksanakan program ini
tanpa ada sebarang sokongan daripada rakyat,akibatnya segala usaha yang
dilakukan oleh kerajaan dapat diibaratkan bagai mencurahkan air ke daun
keladi.Maka,setiap pengguna jalan raya perlu memberikan kerjasama yang
sepenuhnya demi merealisasikan hasrat kerajaan dalam Wawasan Keselamatan Jalan
Raya Tahun 2010 untuk mencapai kadar kemalangan jalanraya yang
minimum.Seterusnya, polis trafik mestilah menjalankan tugas dengan dedikasi.
Mereka mesti menjalankan tugas masing-masing dan memberkas golongan yang
melanggar undang-undang di jalan raya. Saman mesti sentiasa dikeluarkan untuk
memberi amaran kepada si pelanggar peraturan jalan raya. Kelengkapan polis
trafik turut mestilah sempurna. Di samping itu, polis trafik yang amanah amat
diperlukan. Mereka tidak harus menerima rasuah sebaliknya mesti bersikap adil
dan saksama. Sikap berdiri di atas pagar mestilah dipraktikkan oleh anggota
polis trafik. Implikasinya, polis-polis trafik juga turut memainkan peranan
yang agak penting.
Bertitik tolak daripada itu,pihak swasta juga memainkan
peranan yang vital dalam mencegah kemalangan jalan raya daripada terus membarah
dalam kalangan masyarakat Malaysia.Pihak swasta seperti syarikat bas haruslah
memberikan perkhidmatan bas yang terbaik agar bilangan kemalangan yang semakin
meningkat dapat dikurangkan.Antara prakarsa yang dapat dilaksanakan oleh
syarikat bas tersebut ialah dengan mengambil pemandu bas yang cermat dan
berhemah untuk bekerja.Dengan itu,keselamatan bas serta penumpangnya akan
terjamin apabila pemandu bas mematuhi peraturan jalan raya yang ditetapkan
seperti had laju.Di samping itu,syarikat bas juga perlulah menetapkan bahawa
pemandu bas mestilah menyelenggara bas mereka secara berkala.Mereka perlu
memastikan agar bas tersebut bebas daripada kerosakan teknikal sebelum
memulakan sesuatu perjalanan.Dalam konteks ini,masalah-masalah seperti
kerosakan enjin , tayar pancit dan brek yang tidak berfungsi dapat diatasi
serta-merta kerana kemalangan dapat disinonimkan dengan peribahasa malang tidak
berbau.Bukan itu sahaja,pemandu gantian juga harus ditempatkan semasa pemanduan
sebagai inisiatif untuk mengelakkan kealpaan pemandu lain apabila berasa penat
dan letih.Hal ini demikian kerana,mengikut kajian kes,kebanyakan kemalangan
yang terjadi berpunca daripada kecuaian pemandu itu sendiri.Tegasnya,dengan
menempatkan pemandu sementara ,kemalangan jalan raya dapat diatasi dengan lebih
efektif.Selain syarikat bas,syarikat
petroleum negara iaitu Petronas dapat dijadikan contoh terbaik kerana berani
untuk mengambil langkah untuk mencegah kemalangan
jalan raya kerana hendak seribu daya,tak hendak seribu dalih.Syarikat
berkaliber itu mengadakan program Street Smart yang bertujuan memupuk kesedaran
rakyat Malaysia agar lebih berhati-hati di jalan raya selain sentiasa mematuhi
praturan jalan raya.Program ini telah mendapat sambutan yang memberangsangkan
daripada segenap lapisan masyarakat terutamanya pelajar sekolah.Maka jelaslah
bahawa syarikat swasta penting dalam usaha mencegah kemalangan jalan raya.
Bukan itu sahaja,media massa juga memikul obligasi yang
berat dalam mencegah kemalangan jalan raya daripada terus berlaku.Pihak media
massa sama ada media cetak seperti Berita Harian atau media elektronik seperti
Media Prima haruslah menguar-uarkan mengenai isu-isu kemalangan jalan raya agar
isu yang diiklankan di kaca televisyen dan di dada akhbar itu menjadi
pengajaran kepada orang ramai mengenai bahayanya pemanduan yang tidak
berhemah.Di samping itu,media massa juga boleh melaksanakan program pendidikan
keselamatan jalan raya di Malaysia secara formal yakni kurikulum di sekolah dan
institusi memandu dan secara tidak formal yakni melalui kempen-kempen bagi
melahirkan pengguna jalan raya bertaraf lima bintang.Bukan itu sahaja,pihak
media massa juga mestilah mengadakan kempen keselamatan jalan raya terutamanya
sempena musim-musim perayaan.Hal ini demikian kerana kejadian kemalangan jalan
paling kerap berlaku semasa musim-musim seperti ini.Dengan bertemakan konsep
‘’Kemalangan Sifar” dan ‘’Pandu Cermat Jiwa Selamat’’ ,kempen ini sedikit
sebanyak menyemai benih kesedaran dan sikap berhati-hati di jalan raya dalam
sanubari para pemandu.Seiring dengan itu,kempen yang memberi sedikit
pengetahuan kepada pengguna jalan raya harus diperhebatkan dan perlu
dilaksanakan dengan lebih agresif dan berterusan agar kemalangan jalan raya
dapat dibanteras hingga ke akar umbi.Selain itu,slogan “Jangan biarkan keluarga
anda menunggu dalam tangisan” dapat dihayati oleh masyarakat melalui kempen
yang dianjurkan oleh media massa.Oleh hal yang demikian ,telah terbuktilah
bahawa media massa memberi impak yang besar dalam usaha untuk mengecilkan bilangan
kemalangan jalan raya yang saban hari kian meningkat.
Kemalangan jalan raya juga boleh turut dielakkan sekiranya
masyarakat turut sama memainkan peranan.Sekiranya berlaku sebarang kerosakan
jalan raya di sesebuah kawasan taman perumahan, haruslah terdapat seseorang di
dalam komuniti tersebut yang peka terhadap kesulitan tersebut dan berusaha
melaporkannya kepada pihak yang berwajib.Sesungguhnya bulat air kerana
pembetung,bulat kata kerana muafakat,bersatu teguh,bercerai roboh,maka
masyarakat seharusnya bersatu hati bagai aur dengan tebing untuk memastikan
tidak berlakunya kemalangan jalan raya.Oleh hal yang demikian,masyarakat
haruslah bekerjasama dengan pihak polis sekiranya mereka mendengar, melihat
mahupun terlibat dengan kemalangan di jalan raya serta jenayah-jenayah di jalan
raya yang boleh mencetuskan kemalangan seperti aktiviti lumba haram atau
pemanduan tidak berhemah. Masyarakat juga boleh menyertai kempen-kempen
keselamatan jalan raya yang dianjurkan oleh pihak kerajaan,sekali gus
menjayakannya.Dengan mengamalkan serta menghayati kempen tersebut , kemalangan
jalan raya dapat dielakkan. Berpeganglah dengan kata-kata mantan Perdana
Menteri ke-4,Tun Dr. Mahathir Muhammad, “ Bersatu padulah kita membuat kebaikan
dan kemajuan,dan janganlah kita bersatu padu membuat kerosakan dan kemusnahan
’’ , justeru setiap ahli dalam masyarakat haruslah saling mengingatkan antara
satu sama lain dan haruslah kita bersatu padu menangani isu kemalangan jalan di
samping berusaha untuk tidak menglibatkan diri dalam kemalangan jalan raya.
Intihanya,kemalangan jalan raya merupakan polemik semasa
yang tiada kesudahan. Jika kita berhasrat untuk menangani kemalangan jalan raya
yang semakin hari semakin serius ini,langkah-langah yang proaktif dan konkrit
haruslah dilaksanakan kerana mencegah itu lebih baik daripada mengubati.
Kemalangan jalan raya mampu dielakkan sekiranya semua pihak tidak kira
individu, masyarakat , pihak kerajaan serta serta pihak bukan kerajaan bersatu
hati menggembleng tenaga dan usaha yang
berkesan menangani isu kemalangan jalan raya . Kadar kemalangan yang sedikit
mampu menaikkan martabat dan imej negara di pentas dunia agar negara kita
dihormati dan dipandang tinggi serta dilabel sebagai negara yang
mengamalkan undang-undang jalan raya
yang berkesan . Oleh hal yang demikian , cegah sebelum parah,ingatlah orang
yang tersayang,maka pandulah dengan berhati-hati di jalan raya.
Sumber:http://noraini-ismail.blogspot.com/
No comments:
Post a Comment