Friday, 26 June 2015

KESAN PELAKSANAAN SISTEM PENGANGKUTAN AWAM DARAT DI MALAYSIA

 Kerajaan Malaysia telah memperuntukkan jutaan ringgit untuk meningkatkan mutu sistem pengangkutan awam darat. Pengangkutan awam ini merangkumi bas, kereta api transit, dan teksi. Pelbagai langkah telah diambil untuk menambah baik sistem ini termasuklah menambah bilangan bas dan membina aliran kereta api transit. Pelaksanaan sistem ini sememangnya memberikan kesan kepada masyarakat dan negara. Pelaksanaan sistem pengangkutan awam darat dapat memudahkan masyarakat kerana dapat mengurangkan masalah kesesakan jalan raya. Masalah ini sering berlaku di bandar-bandar utama yang sibuk seperti Kuala Lumpur dan Putrajaya. Punca utamanya ialah jumlah penggunaan kereta sendiri yang banyak di jalan raya. Sebagai contohnya, penggunaan kemudahan pengangkutan awam adalah sedikit jika dibandingkan dengan penggunaan kereta sendiri. Kesedaran penggunaan pengangkutan awam haruslah dipupuk sejak kecil lagi. Apabila semakin ramai pengguna menggunakan sistem pengangkutan ini, maka masalah kesesakan jalan raya dapat dikurangkan. Hakikatnya, pelaksanaan sistem pengangkutan awam darat dapat mengurangkan masalah kesesakan jalan raya. Seterusnya, ekonomi dan produktiviti negara dapat dijana merupakan satu daripada kesan pelaksanaan sistem pengangkutan awam. Hal ini dapat dilihat apabila para pekerja menggunakan pengangkutan awam ini. Melalui penggunaan pengangkutan awam, sudah tentu kerajaan mendapat keuntungan dan hasilnya, kerajaan akan membangunkan negara ini dengan menambah prasarana dan menambah baik pengangkutan awam yang sedia ada. Sebagai contoh, pekerja kilang atau pejabat dapat sampai ke tempat kerja dengan awal. Hal ini kerana ketepatan masa dan pembaziran masa tidak berlaku. Pekerja juga akan bersemangat ketika bekerja. Jelaslah bahawa ekonomi dan produktiviti negara dapat dijana melalui pelaksanaan sistem ini. Berikutnya, pencemaran udara di Malaysia dapat diminimumkan natijah daripada pelaksanaan sistem ini. Kini, kita sering mendengar bahawa pencemaran udara menjadi penyebab utama masalah kesihatan seperti asma, batuk, selsema dan lain-lain. Selain daripada pembakaran terbuka, asap kenderaan adalah faktor penyumbang kepada pencemaran udara. Sebagai contohnya, udara yang tercemar mengandungi karbon monoksida dan sulfur dioksida yang boleh menyebabkan taraf kesihatan penduduk merosot. Oleh itu, penggunaan kereta sendiri haruslah dikurangkan. Masyarakat perlulah cakna menggunakan pengangkutan awam dalam kehidupan seharian kerana dapat mengurangkan penggunaan kereta sendiri. Secara amnya, pelaksanaan sistem ini mampu meminimumkan pencemaran udara di Malaysia. Selanjutnya, kesan pelaksanaan sistem pengangkutan awam darat adalah lebih mesra alam dan mesra pengguna. Hal ini sangat penting bagi menjamin kepercayaan dan kesetiaan terhadap penggunaan pengangkutan awam. Dalam era yang penuh kesibukan ini, pengangkutan awam sememangnya menjadi pilihan rakyat yang bekerjaya. Pengangkutan awam adalah mesra alam kerana menggunakan tenaga elektrik untuk beroperasi seperti transit aliran ringan (LRT). Pengangkutan awam juga mesra pengguna kerana pengguna tidak perlu memandu. Pengguna hanya perlu duduk dan boleh melakukan perkara lain seperti membaca buku, makan dan sebagainya. Tuntasnya, pengangkutan awam adalah lebih mesra alam dan pengguna. Selain itu, pelaksanaan sistem ini memberikan kesan iaitu mampu memberikan keselesaan kepada para pengguna pengangkutan awam. Pengguna yang berasa selesa menggunakan pengangkutan awam akan menggunakannya pada masa hadapan. Keselesaan yang dimaksudkan ialah tempat duduk dalam kenderaan awam yang banyak, penggunaan penghawa dingin dalam pengangkutan awam, ruang menunggu yang selesa seperti di terminal LRT dan sebagainya. Sebagai contoh, kita akan lebih suka memilih perkhidmatan yang selesa berbanding yang sebaliknya. Oleh itu, transformasi sistem pengangkutan awam yang dilakukan sememangnya akan menarik lebih ramai lagi orang awam untuk menggunakannya. Tuntasnya, pelaksanaan sistem ini sememangnya memberikan kesan. Akhir sekali, pelaksanaan sistem ini menjadikan negara kita mempunyai bandar-bandar yang selesa dan sesuai untuk didiami. Hal ini demikian kerana mempunyai sistem pengangkutan yang mudah. Sistem pengangkutan awam darat ini mampu menghubungkan penduduk bandar dengan luar bandar sekaligus memajukan kawasan luar bandar. Sebagai contohnya, penduduk luar bandar yang ingin ke bandar atas urusan pekerjaan boleh berulang-alik ke kampung halaman tanpa halangan. Kemudahan ini sememangnya menjadikan Malaysia unik kerana penduduk luar bandar tidak dipinggirkan dari pembangunan negara. Jelaslah bahawa pelaksanaan sistem pengangkutan awam darat memberikan kesan kepada masyarakat. Keseluruhannya, semua pihak haruslah berganding bahu dalam menjadikan sistem pengangkutan awam darat menjadi pilihan utama. Segala penambahbaikan seperti menyediakan kawasan khas untuk Orang Kelainan Upaya (OKU) adalah digalakkan bagi memenuhi keselesaan pengguna. Pihak kerajaan haruslah peka dalam memajukan sistem pengangkutan awam darat agar setanding dengan sistem pengangkutan awam darat negara luar


Sumber:http://kemilauadiwarna.blogspot.com/


No comments:

Post a Comment