PENGERUSI Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Tan
Sri Syed Hamid Albar (kiri) bersama Pengarah Urusan DRB-Hicom, Tan Sri Mohd.
Khamil Jamil memperkenalkan Teksi 1Malaysa (TEKS1M) pada majlis pelancaran reka
bentuk teksi berkenaan di Shah Alam pada 2013.
MANUSIA & PERISTIWA
IMEJ perkhidmatan teksi terutama di Kuala Lumpur dan
sekitarnya yang sangat teruk sudah lama diketahui umum.
Para penumpang bukan sahaja dimaki dan diugut, malah
berleluasa juga perbuatan menipu tambang oleh pemandu teksi yang berangan-angan
menjadi 'jutawan segera' dengan memeras duit penumpang khususnya pelancong
asing.
Terbaharu akhbar melaporkan beberapa pelancong dari Arab
Saudi yang mengeluh pengalaman buruk menaiki teksi di ibu negara.
Mereka dikenakan caj RM50 dari Kuala Lumpur City Centre
(KLCC) ke pusat beli-belah Pavillion di Bukit Bintang, yang tidak sampai 10
minit perjalanan. Seorang pelancong lain pula dipaksa membayar RM200 ketika
menaiki teksi dari Subang, Selangor ke KL Sentral.
Imej perkhidmatan teksi di Kuala Lumpur turut terjejas
dengan pelbagai kerenah lain pemandu seperti memilih penumpang, mengambil
penumpang bukan di perhentian teksi, tidak membantu walaupun penumpang membawa
beg berat, tidak menggunakan meter dan menurunkan penumpang di tempat tidak
dibenarkan.
Selain isu pemandu tidak terlatih, amanah dan profesional;
terdapat pihak yang menyifatkan penggunaan kereta nasional keluaran Proton
Holdings Bhd. (Proton) seperti Iswara dan Saga sebagai teksi adalah tidak
sesuai kerana saiz yang kecil.
Bayangkan berapa ramai bilangan pelancong asing dari
negara-negara Arab dan Eropah yang rata-rata berbadan besar yang mampu
dimuatkan oleh kereta Proton Saga.
Kita juga biasa melihat pemandangan but teksi tidak ditutup
rapat kerana beg tidak muat. Ini bukanlah fenomena lumrah bagi teksi di negara
lain.
Untuk meningkatkan imej teksi di Kuala Lumpur, kita
sepatutnya mencontohi perkhidmatan di negara-negara yang telah diktiraf sebagai
terbaik.
Bancian oleh syarikat penyedia perkhidmatan tempahan hotel
secara dalam talian, Hotels.com pada tahun lalu mendapati perkhidmatan teksi di
London adalah yang terbaik di dunia dan status itu kekal selama enam tahun
berturut-turut.
Tempat kedua terbaik adalah perkhidmatan teksi New York,
ketiga, Tokyo; keempat Berlin; kelima dikongsi secara bersama oleh Amsterdam,
Madrid dan Mexico City; keenam Bangkok, Singapura dan Bogota serta ketujuh Las
Vegas, Vancouver dan Mumbai.
Jika dilihat kepada kejayaan perkhidmatan teksi London dan
New York menduduki dua tempat teratas, ia berpunca kerana wujud skim latihan
khas bagi melahirkan pemandu yang berhemat.
Sumber:http://ww1.utusan.com.my/
No comments:
Post a Comment