Thursday, 25 June 2015

SPAD YAKIN BOLEH TRANSFORMASI PENGANGKUTAN AWAM SEBELUM 2020



KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) yakin dapat mentransformasi sepenuhnya sistem pengangkutan awam darat di negara ini menjelang 2020.
Pengerusinya, Tan Sri Syed Hamid Albar, berkata SPAD sedang melaksanakan pelbagai langkah bagi menambah baik pengangkutan darat termasuk membabitkan kenderaan berat.

"Sistem pengangkutan negara kita tidak pernah diselarikan dengan kemajuan dan pembangunan negara... Bagi kami masa untuk ubah dan tambah baik kerana untuk ubah sesuatu sistem yang dah lama wujud bukan boleh siap dalam sehari," katanya kepada Bernama, di sini.

Katanya walaupun SPAD menerima banyak tentangan terhadap usaha yang dilakukan, beliau menganggap halangan itu petunjuk bahawa mereka berada di landasan yang betul.

"Sebenarnya keadaan fizikal sistem pengangkutan negara kita baik tetapi saya yakin ia mampu menjadi lebih efisien dan cemerlang sekiranya mendapat kerjasama pihak pengendali pengangkutan di luar sana untuk menjadikannya lebih cemerlang," katanya.

Sejak ditubuhkan 2010, SPAD melaksanakan beberapa pembaharuan bagi menambah baik pengangkutan awam, khususnya di Lembah Klang dan yang terkini memperkenalkan perkhidmatan bas percuma Go-KL City Bus yang mencetuskan kemarahan segelintir pengusaha teksi.

Menjawab isu itu, Syed Hamid yang mengakui ramai pemandu terasa diri mereka dianiaya dengan tindakan tersebut, berkata tanggungjawab SPAD memastikan orang awam mendapat perkhidmatan yang baik.

"Jika mereka marah dengan perkhidmatan bas percuma Go-KL, perkara itu tidak sepatutnya kerana perkhidmata cuma melibatkan dua laluan dan saya yakin jika perkhidmatan yang disediakan teksi memuaskan, penumpang termasuk pelancong akan menggunakan perkhidmatan mereka," katanya.

Perkhidmatan bas percuma itu hanya meliputi Laluan Hijau (KLCC-Bukit Bintang) sejauh 7.4 kilometer dan Laluan Ungu (Hab Pasar Seni-Bukit Bintang) sejauh 6.5 km.

Syed Hamid juga mendedahkan perkhidmatan rel iaitu komuter dan tren elektrik Keretapi Tanah Melayu Berhad paling banyak menerima rungutan orang ramai kerana sering lewat dan tidak efektif.

Perkara itu katanya sedang ditangani termasuk dengan penambahan 36 gerabak baru.

Mengenai Pekeliling SPAD berhubung had muatan lori yang dikuat kuasa 25 September lalu, Syed Hamid berkata pekeliling itu bagi memastikan menjamin keselamatan pengguna jalan raya yang lain.

"Pekeliling itu untuk memastikan pengendali lori tidak terlalu tamak membawa muatan sehingga membahayakan pengguna jalan raya yang lain serta merosakan jalan.

"Jika jalan raya rosak, untuk membaikinya menggunakan duit cukai dan ia adalah hasil kutipan cukai rakyat," katanya.



No comments:

Post a Comment