Thursday 25 June 2015

AKHBAR

Walaupun berubah kepimpinan pada Pilihan Raya Umum ke -12 (PRU12) lalu namun masalah yang membelenggu rakyat di Kuala Langat masih belum dapat diselesaikan hingga kini.

Tinjauan Sinar Harian mendapati rakyat di Kuala Langat beranggapan masih tiada lagi parti politik yang benar-benar mampu mengubah kehidupan mereka walaupun bertukar kerajaan sekalipun.

Kebanyakan mereka berpendapat demikian dengan  mengambil kira masalah dihadapi semasa pemerintahan Barisan Nasional (BN) dilihat juga tidak dapat diselesaikan oleh pemimpin Pakatan Rakyat (PR) yang dipilih rakyat pada PRU-12.

Antara isu belum selesai adalah masalah pengangkutan awam di Kuala Langat yang dianggap dianaktirikan, malah pihak  bertanggungjawab melihat taraf kehidupan masyarakat di sini, semakin maju sehingga tidak mengambil perhatian rakyat di kawasan luar bandar yang masih menggunakan pengangkutan awam.

Jika ada sesuatu isu atau permasalahan menimpa rakyat mengambil contoh masalah lokasi perhentian teksi yang tidak strategik dihadapi pemandu  teksi  di Kuala Langat, bukan sahaja wakil rakyat PR sahaja turun padang malah wakil BN juga cuba tampil membantu tetapi sehingga kini belum menemui jalan penyelesaian.

Jika dilihat, kedua -dua parti hanya turun padang memberi sumbangan bagi meringankan beban namun masalah utama masih juga tidak selesai.

Mungkinkah pemimpin PR hanya ingin menunjukkan sikap ‘tunjuk muka’ manakala wakil BN hanya turun padang menghulurkan wang untuk menutup cerita?.

Bagaimanapun, kuasa memilih terletak di tangan pengundi untuk menentukan wakil rakyat yang akan membela nasib mereka.

Ikuti laporan Fokus Parlimen Kuala Langat yang disediakan oleh Skuad Kuala Langat, NURUL FIRDAUS KHAIRI mengenai persediaan pemimpin parti dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.

KAWASAN Parlimen Kuala Langat antara kubu kuat Barisan Nasional (BN) Selangor jatuh ke tangan Pakatan Rakyat (PR) pada Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu, walaupun dengan majoriti tipis 989 undi.

Bagaimanapun, Ketua Umno Bahagian Kuala Langat, Datuk Sulaiman Mohd Karli, berpendapat BN mampu merampas kembali kawasan pilihan raya tersebut dengan bantuan undi daripada pelbagai bangsa.

Menurutnya, pendekatan dibuat adalah dengan mengukuhkan sokongan dalaman parti serta memastikan parti komponen BN bersatu terlebih dahulu sebelum berkempen kepada pengundi.

“Sokongan sesuatu bangsa sebenarnya tidak dapat diukur dengan jelas sebagai contoh walaupun masyarakat Cina hadir dalam acara ditaja oleh BN, namun kita tidak dapat memastikan calon parti mana yang menjadi pilihan mereka dalam pilihan raya nanti.

“Saya sendiri berjumpa dengan kepimpinan MCA mengajak mereka supaya memberi tumpuan memastikan ahli-ahli mereka mengundi BN sebelum memikirkan untuk memenangi hati pengundi Cina yang lain,” katanya.

Dalam pada itu, Sulaiman turut menyuarakan hasratnya sekiranya diberikan peluang kedua menjadi calon kerusi Parlimen itu, beliau akan berusaha untuk  memenangi hati rakyat supaya memihak kepada BN.

Beliau turut menyifatkan kekangan akibat tidak memegang kuasa sebenar dalam  birokrasi kerajaan negeri menjadikannya untuk terus mengadakan perjumpaan dengan masyarakat lebih-lebih lagi dalam komuniti kecil dalam masyarakat setempat.

Menurutnya, sokongan undi daripada bukan Melayu adalah penting bagi memastikan BN mengambil semula Kuala Langat.

Bagi tiga kerusi Dun (Sijangkang, Teluk Datok dan Morib), pada satu masa dahulu merupakan kubu kuat BN, kini hanya Morib dipegang oleh parti pemerintah tersebut.

Bagaimanapun, kepimpinan BN diyakini mampu meraih undi apabila melihat keadaan politik semasa PR yang sudah dilihat gagal menunaikan janji manifesto pilihan raya lalu.

“Tambahan lagi dengan penyandang sekarang bukanlah anak jati Kuala Langat memberi kelebihan kepada saya untuk terus berkhidmat sekiranya diberi peluang untuk menerajui pimpinan BN di daerah ini.

“Namun, semuanya terserah kepada Perdana Menteri, saya sudah menjalankan tugas sepanjang lima tahun selain merupakan anak tempatan yang sentiasa berada di dalam kawasan dan mendahului program masyarakat berbanding pimpinan PR,” katanya.

Sulaiman berkata, beliau akan terus memperjuangkan hak rakyat terutama dalam soal kebajikan, pendidikan dan pembangunan di kawasan Kuala Langat.

“Kita masih boleh mentadbir Selangor pada pilihan raya akan datang dan yakin mampu menyelesaikan masalah rakyat yang timbul sejak pemerintahan PR lima tahun lalu,” katanya.

Isu peribadi bukan penghalang

Ahli Parlimen Kuala Langat, Abdullah Sani Abdullah Hamid dari PKR mula menunjukkan kelebihan dan keprihatinannya terhadap kawasan Kuala Langat sejak berjaya menewaskan pencabarnya, Datuk Sulaiman Mohd Karli dalam PRU12 lalu.

Beliau berkata, walaupun beliau bukan anak kelahiran tempatan tetapi berjaya mendekati pengundi terutamanya bukan Melayu melalui pendekatan turun padang.

Anak jati Perak itu berkata, semasa baru bergelar Ahli Parlimen Kuala Langat, beliau terkejut apabila mendapati sistem pencegahan kebakaran di bangunan pusat pendidikan masih menggunakan sistem lama.

“Justeru, apabila saya diberikan mandat untuk menjadi pemimpin di kawasan ini, saya memberi fokus kepada usaha menaiktaraf kemudahan awam termasuk infrastruktur demi keselesaan penduduk Kuala Langat,” katanya.

Mengulas mengenai isu peribadinya yang menjadi kontroversi dan digunakan oleh pihak tertentu untuk mematikan karier politiknya, Abdullah Sani berkata, isu tersebut tidak menghalangnya untuk terus berkhidmat kepada penduduk di kawasan.

Bekas Naib Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) itu yakin masih mempunyai sokongan kuat daripada pengundi yang inginkan perubahan dan yakin dapat mengekalkan kerusi itu.


“Sudah tentu, calon BN yang bakal diletakkan di Parlimen mempunyai kelebihan sekiranya merupakan anak jati di sini, tetapi apabila melihat sokongan rakyat daripada semua lapisan masyarakat mungkin lebih berpihak kepada saya," katanya.



Sumber:http://www.sinarharian.com.my/

No comments:

Post a Comment