Wednesday 24 June 2015

PENINGKATAN KEMALANGAN JALAN RAYA

Kemalangan dan kematian di jalan raya sudah menjadi masalah negara yang menghantui kita setiap hari. Kemalangan jalan raya banyak berlaku pada musim perayaan khususnya bukan sahaja membawa kerugian kepada keluarga mangsa, tetapi kerugian modal insan yang besar kepada negara Setiap nyawa yang hilang akibat kemalangan jalan raya merupakan kerugian kepada negara kerana banyak wang dan perbelanjaan telah dikeluarkan ke atas mereka bagi tujuan persekolahan, peperiksaan, serta latihan pekerjaan dan akhirnya tidak dapat memberi sumbangan kepada negara akibat terlibat dalam kemalangan.

Sebenarnya pelbagai program telah dilaksanakan oleh pihak kerajaan dalam usaha untuk mengurangkan kadar kemalangan jalan raya khususnya pada musim perayaan. Ops Pacak, Ops Sikap, Ops Statik, penggunaan helikopter untuk memantau pergerakan kenderaan, pengedaran poster, kempen kesedaran serta  penguatkuasaan dilakukan dan merupakan  metodologi yang digunakan oleh pihak  kerajaan untuk memastikan rakyat Malaysia sentiasa selamat ketika berada di jalan raya. Ops Sikap yang telah diadakan sejak beberapa tahun kebelakangan ini adalah lebih bertumpu kepada sikap pengguna jalan raya yang menjadi faktor kemalangan dan peningkatan kadar kematian di jalan raya terutamanya pada musim perayaan. Namun, apa yang dilihat masih banyak jumlah kemalangan dicatatkan dan nahas jalan raya kini menjadi ancaman nombor satu di Malaysia yang semakin kritikal lebih-lebih lagi dengan penambahan jumlah kenderaan setiap tahun. Angka kematian bukan sahaja tidak pernah menurun malah pemandu-pemandu semakin rakus menjadikan jalan raya sebagai tempat untuk berlumba, selain mengambil kesempatan menguji kemampuan kenderaan masing-masingmemecut.

Usaha untuk menjadikan kemalangan jalan raya sifar  bukanlah impian pihak kerajaan semata-mata tetapi setiap rakyat negara ini juga perlu menunjukkan usaha untuk mengurangkan berlakunya kemalangan disebabkan kecuaian. Memang Ops Sikap itu membantu kerana tanpa Ops Sikap, kita tidak dapat bayangkan betapa banyak lagi yang akan mati di atas jalan raya. Persoalannya takkan sehingga kita terpaksa mengharapkan Ops Sikap sepanjang tahun, tetapi pemandu itu sendiri tidak mahu mengubah sikap mereka sendiri. Slogan "Anda Mampu Mengubahnya" memang tepat sebagai peringatan kepada semua pengguna jalan raya.
Menurut Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha, situasi itu cukup sedih dan mengecewakan. Keadaan ini kerana setiap tahun kerajaan telah membelanjakan RM9 bilion untuk pelbagai kempen keselamatan.  Kerugian yang dialami akibat kemalangan amat tinggi sekali. Kita dapati tiap-tiap tahun kerugian sampai RM9 billion meliputi kes insurans, kehilangan harta benda, dan lebih penting kehilangan kebolehan untuk cari pendapatan di masa hadapan.  Peringatan "Berhati-hati di Jalan Raya", "Patuhi Had Laju", "Kelajuan Membunuh", dan slogan "Pandu, Tunggang dan Jalan Dengan Selamat" serta "Anda Mampu Mengubahnya" menyegarkan kembali ingatan pengguna jalan raya agar berhati-hati semasa berada di atas jalan raya. Namun realitinya, pengguna jalan raya di Malaysia masih lagi cuai, lalai dan lupa walau diberikan dengan pelbagai peringatan serta slogan di sepanjang jalan raya.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 31 Ogos yang lalu turut melahirkan rasa sedih dengan peningkatan jumlah kemalangan di jalan raya pada musim perayaan ini.  Peningkatan yang berlaku  terutama sekali di jalan negeri dan bandaran tidak sepatutnya berlaku kerana pelbagai kempen diadakan bagi memberi kesedaran kepada orang ramai, sehingga Jabatan Keselamatan Jalan Raya ditubuhkan bagi menangani perkara itu. Jumlah kes kemalangan jalan raya terutamanya yang melibatkan motosikal membimbangkan kerajaan.

Kerajaan akan terus meneliti langkah terbaik bagi mengurangkan kadar kemalangan di negara ini dan meskipun langkah memperketatkan peraturan mungkin menerima bantahan banyak pihak. Pengguna jalan raya, kata beliau boleh menyalahkan jalan yang berlubang atau sempit sebagai punca kemalangan namun ia boleh dielakkan jika mereka berhati-hati dan tidak memandu laju. Justeru, Muhyiddin menasihati pengguna jalan raya agar lebih bertanggungjawab, menghargai nyawa, menghormati satu sama lain dan ingat kepada orang yang disayangi ketika memandu
Pendidikan Keselamatan jalan raya (PPK1R) dapat membantu memberi kesedaran dan panda arah  menjadi pemandu yang berhemah di peringkat yang lebih awal lagi berkesan mengurangkan kadar kemalangan jalan raya. Berdasarkan itu, cawangan trafik Polis Diraja Malaysia (PDRM) memanjangkan idea pembinaannya yang dicetuskan Perdana Menteri dan diluluskan Kabinet ke jalan Persekutuan berdasarkan statistik kadar kemalangan yang agak tinggi di situ. Tidak dinafikan bahawa setiap kali Ops Sikap diadakan, tumpuan yang lebih diberikan kepada penunggang dan pembonceng motosikal kerana peratus kemalanganya sangat tinggi, iaitu sebanyak 60 peratus daripada keseluruhan jumlah kes kemalangan yang direkodkan. Lantaran itu, pihak kerajaan akan membina lorong khas motosikal dijalan-jalan Persekutuan di seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak bagi mengurangkan kadar kemalangan jalan raya yang banyak melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal.

Perangkaan nahas jalan raya pada tahun lepas menunjukkan sebanyak 3,693 penunggang dan pembonceng motosikal meninggal dunia dengan jumlah kes kematian paling tinggi berlaku di jalan-jalan Persekutuan, iaitu sebanyak 1,316 kes. Kerajaan yakin dengan adanya lorong khas itu dapat mengurangkan kadar nahas di negara ini khususnya kes-kes kemalangan maut. Statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan kemalangan terus meningkat setiap tahun dan pada musim perayaan tahun ini sahaja mencatatkan jumlah kemalangan adalah sebanyak 1609 kes kemalangan dan merupakan jumlah kemalangan yang paling tinggi dicatatkan  sejak beberapa tahun yang lalu.  Manakala keseluruhan jumlah kemalangan menurut statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan kemalangan terus meningkat. Pada 2010 sebanyak 414,421 kemalangan direkodkan berbanding 397,330 kemalangan pada 2009.

Selain usaha yang dilakukan pihak kerajaan mengekang kemalangan jalan raya, langkah yang paling tepat untuk dilaksanakan ialah melalui pendidikan mengenai kesedaran keselamatan. Kempen atau ops yang dilancarkan setakat ini bukan tidak berkesan tetapi, pemandu di Malaysia ini perlu diberikan pendidikan mengenai sikap dan tanggungjawab semasa memandu di jalan raya. Melalui pendidikan ini, sikap pemandu di Malaysia ini  akan dapat untuk diterapkan dengan nilai-nilai baik seperti menghormati pemandu lain dan bersikap sabar semasa memandu. Program Pendidikan Keselamatan Jalan Raya (PPKJR) yang telah diperkenalkan di 7,601 sekolah rendah terpilih akan dapat membantu memberi kesedaran dan pandu arah untuk menjadi pemandu yang berhemah di peringkat yang lebih awal lagi. Begitu juga dengan terlaksananya program keselamatan jalan raya melalui komuniti yang membabitkan majikan, pemimpin, ahli politik, ketua agama, pendidik, badan profesional, sukarelawan dan belia juga diharapkan akan menjadi pemangkin bagi merealisasikan hasrat murni kerajaan dan seluruh warganegara.

Keselamatan kereta juga merupakan salah satu faktor yang turut menyumbang kepada berlakunya kemalangan. Justeru itu, setiap pemandu harus mengetahui serba sedikit mengenai komponen alat ganti kenderaan.  Keadaan ini penting supaya mereka tidak menjadi mangsa penipuan terhadap barangan tiruan yang digunakan dalam penggantian spare part  kenderaan mereka. Selain itu, penyelenggaraan juga perlu di lakukan mengikut piawaian dan jangka masa yang telah ditetapkan supaya kenderaan sentiasa berada dalam keadaan yang baik untuk pemanduan yang lancar dan selamat ke destinasi.

Analisis dalam beberapa Ops Sikap sebelum ini mendapati, sikap pemandu yang tidak mematuhi undang-undang jalan raya dan tidak mempedulikan kenderaan lain menjadi punca berlakunya peningkatan kemalangan. Dengan kata lain, pemandu secara umumnya hanya mematuhi peraturan atau bersikap hipokrit apabila melihat  polis dan bukan kerana sikap untuk keselamatan jalan raya. Peraturan jalan raya sepatutnya dipatuhi atas dasar sedar tentang kebaikannya dan bukan takut untuk di saman pihak berkuasa. Sebenarnya, kesediaan untuk mematuhi peraturan dan  arahan tidak memerlukan kita berpendidikan tinggi dan tidak pula perlu menjatuhkan apa-apa juga nilai baik yang ada dalam diri kita. Kempen Keselamatan Jalan Raya bukanlah untuk menyusahkan, tetapi memberi kebaikan  kepada pengguna. Segala peraturan jalan raya, serta papan-papan tanda amaran adalah sebagai panduan bagi memelihara keselamatan jalan raya untuk semua pengguna jalan raya.

Antara punca yang menyebabkan berlakunya kemalangan jalan raya adalah kecuaian pemandu kenderaan itu sendiri. Ramai pemandu yang memandu dalam keadaan mengantuk. Biasanya keadaan mengantuk ini berlaku ketika tengah hari dan sebelah malam. Mereka yang memandu dalam keadaan mengantuk besar kemungkinan terlelap seketika semasa memandu. Seterusnya mengakibatkan kenderaan mereka terbabas ataupun melanggar kenderaan lain pada arah yang bertentangan.

Selain itu punca lain adalah kenderaan yang kurang sempurna sifatnya. Sebelum memandu kenderaan, kita seharusnya  memeriksa kenderaan kita supaya selamat untuk dipandu. Contohnya, keadaan minyak hitam, brek, bateri, air, dan lampu berada dalam keadaan baik. Terdapat pemandu yang tidak menghiraukan keadaan ini. Mereka mengabaikan kesempurnaan kereta mereka. Contohnya, mereka tidak mengganti tayar yang haus. Apabila tayar kereta  sudah haus, sudah tentu daya cengkaman kenderaan itu akan berkurangan. Hal ini lebih membahayakan ketika hujan kerana sewaktu hujan, cengkaman tayar di permukaan jalan raya semakin berkurangan. Jelas di sini, tayar yang haus boleh menyebabkan berlakunya kemalangan jalan raya.

Antara langkah lain yang boleh dilakukan untuk mengurangkan kadar kemalangan jalan raya telah dilakukan oleh  PDRM  iaitu meminta supaya Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menghidupkan kembali kaedah pemberian mata "demerit" kepada pesalah jalan raya bagi membendung jumlah kemalangan maut yang semakin serius sehingga mencecah 6,000 kematian setiap tahun dan mengakibatkan negara kerugian kira-kira RM9 bilion setiap tahun. Sistem pemberian mata demerit bagi setiap kesalahan jalan raya yang dilakukan oleh pemandu dilihat terbukti mampu mengurangkan jumlah kemalangan jalan raya. Melalui kaedah yang diperkenalkan di bawah Sistem Keselamatan Jalan Raya (KEJARA) pada 1997 itu, rekod pesalah diwujudkan melalui notis saman berkaitan dengan kesalahan terjadual dan mata 'demerit' akan dikira. Selagi JPJ tidak menghidupkan semula sistem itu, pihaknya tidak dapat menguatkuasakan penggunaan kaedah berkenaan yang dilihat sebagai kaedah terbaik menangani masalah peningkatan kemalangan jalan raya. Menurutnya di Paris, jumlah kematian akibat kemalangan hanya 50 orang setahun dan hal ini amat memeranjatkan, serta terbukti sistem demerit berkesan dalam mengurangkan jumlah  kemalanganjalanrayapadamusimperayaan.

Pemasangan Kamera Sistem Penguatkuasaan Autotmatik (AES) yang antaranya berfungsi sebagai perangkap had laju dan merakam pelbagai kesalahan trafik akan dipasang di sepanjang Lebuh Raya Utara Selatan dan sekitar Kuala Lumpur, serta Shah Alam. Pemasangan kamera itu yang akan dilaksanakan dalam tiga fasa sehingga 2010. Di bawah fasa pertama dan kedua, Unit Kamera Pengawasan Bergerak telah diwujudkan untuk memantau pemandu dan pengguna jalan raya yang memandu dengan laju dan tidak mematuhi lampu isyarat. Di bawah fasa ketiga, kamera pengawasan akan mengawasi aspek kesalahan lalu limas yang lain seperti memotong di garisan berkembar dan menggunakan lorong kecemasan. Pemasangan sistem yang dilaksanakan oleh JPJ itu bertujuan memastikan pengguna jalan raya sentiasa mematuhi undang-undang lalu lintas dan sebagai bukti pendakwaan. Melalui AES, kamera mengawasi setiap pergerakan kenderaan dan mencatat kelajuan dan maklumat itu dihubungkan ke pusat kawalan untuk mengenal pasti kenderaan yang melakukan kesalahan lain lintas. Anggota JPJ yang bertugas di pusat kawalan itu nanti akan memproses gambar yang diterima itu bagi mengenal pasti identiti dan alamat pemandu. Sistem itu terbukti berkesan dalam mendisiplinkan pemandu dan pengguna jalan raya, sekali gus mengurangkan kemalangan jalan raya Negara-negara seperti Australia, Amerika Syarikat, Eropah, China, dan Korea Selatan telah lama menggunakan Sistem ini dalam usaha mendisiplinkan pemandu dan pengguna.

Selain itu, pihak polis trafik juga telah memasang kamera perangkap kelajuan di tempat-tempat yang strategik iaitu kawasan yang biasanya dipandu laju oleh pemilik kenderaan. Jika mereka memandu dengan kelajuan melebihi 110 km sejam, justeru kamera perangkap kelajuan ini akan merakam gambar kereta dan pemandunya. Selepas disemak, dan didapati mereka telah melanggar had kelajuan yang dibenarkan, pihak polis trafik akan menghantar surat saman kepada pemiliknya. Cara ini telah dapat mengurangkan kadar kemalangan jalan raya terutama di Lebuh Raya Utara-Selatan.


Secara konklusinya, pihak polis atau penguat kuasa telah berusaha sedaya-upaya untuk mengekang kemalangan daripada terus bertambah. Namun, soal keselamatan di jalan raya adalah menjadi tanggungjawab setiap individu sebagai pengguna jalan raya dan bukannya tanggungjawab pihak berkuasa atau kerajaan semata-mata. Pengguna perlu menganggap sasaran menurunkan statistik kemalangan jalan raya ke peringkat sifar merupakan satu tuntutan sosial. Usaha mensifarkan nahas jalan raya tidak kira sama ada sempena perayaan mahupun di luar musim perayaan bukanlah suatu perkara yang mustahil. Oleh demikian, setiap pengguna jalan raya haruslah mempunyai komitmen yang tinggi semasa menggunakan jalan raya supaya menjaga sikap dan tanggungjawab untuk pemanduan yang berhemah dan menjamin keselamatan diri dan pengguna jalan raya yang lain.

Sumber:http://pmr.penerangan.gov.my/



No comments:

Post a Comment